Malaysia Dateline

Anwar mahu usul bincang pembongkaran skandal 1MDB disegera

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengemukakan usul membincangkan pembongkaran amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan institusi khasnya Bank Negara Malaysia (BNM), berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pembangkang tersebut berkata, usul itu dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, susulan keterangan bekas Pengerusi Goldman Sachs Group Inc Asia Tenggara, Tim Leissner, di mahkamah Amerika Syarikat (AS).

Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan berkata, usul berkenaan dibuat bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Ini adalah perkara yang memerlukan perhatian dan perbahasan terperinci serta menyeluruh di Dewan Rakyat kerana melibatkan kepentingan orang ramai.

“Ia juga perlu disegerakan kerana pembongkaran kes terkini terdedah ke peringkat antarabangsa dan memerlukan penjelasan segera kerajaan berikutan kegagalan agensi penguatkuasa negara khasnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan, menyiasat dan mendakwa mana-mana warganegara Malaysia jika terbabit dalam apa-apa kesalahan transaksi kewangan tersebut.

“Saya berharap usul ini mendapat pertimbangan sewajarnya dari Yang di-Pertua Dewan Rakyat,” kata Anwar lagi menerusi hantaran dalam Facebook beliau, hari ini.

Anwar IbrahiM 1MDB
Tim Leissner dalam keterangannya dedah dia pernah ada hubungan dengan Rohana Rozhan.