Anwar mampu bawa reformasi dalam Kerajaan Perpaduan

Oleh ARIF ATAN

Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini mempunyai kemampuan untuk membawa pembaharuan dalam Kerajaan Perpaduan.

Malah, ‘track record’ beliau selama 24 tahun adalah konsisten dalam memperjuangkan agenda reformasi.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan berkata, Anwar mempunyai semangat juang yang kental.

Tokoh yang pernah diiktiraf Asiamoney sebagai Menteri Kewangan terbaik pada 1996 itu telah keluar dan masuk penjara serta menang dan kalah dalam pilihan raya sekali gus membuktikan beliau seorang pemimpin yang utuh dengan prinsip reformasinya.

“Anwar kini menjadi PM untuk kerajaan bersama iaitu Kerajaan Perpaduan dan bukannya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Malah, dalam sidang media pertama beliau sebagai PM, ia dijelaskan acapkali tentang prinsip kebebasan kehakiman dan pemisahan kuasa eksekutif serta tatakelola yang baik. Kesemua itu dipersetujui dan tiada kompromi,” katanya ketika dihubungi.

Sehubungan itu, Razak berkata, kementerian strategik seperti Kementerian Dalam Negeri, undang-undang, ekonomi, kewangan dan juga pendidikan haruslah dilantik dalam kalangan individu yang benar-benar tulen semangat reformasinya.

Bekas calon PH bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu berkata, menteri yang mengisi portfolio terbabit juga perlu cekap kepimpinan dan pengurusannya tanpa mengambil kira dari parti mana sekalipun.

“Dengan itu, maka agenda utama reformasi akan berjaya dilaksanakan.

“Kestabilan Kerajaan Perpaduan yang telah berjaya menjadi realiti dan disokong oleh dua pertiga Ahli Parlimen akan memungkinkan proses melaksanakan agenda reformasi dapat direalisasikan,” tambah Razak lagi.

Baca juga Bantah kempen perkauman agama, 10 laporan polis dibuat seluruh negara

Baca juga Rugi lebih RM300,000 gara-gara wanita lain angkat panggilan telefon, lelaki terkejut dituduh curang