Anwar mampu tambah nilai, kekuatan kerajaan PH

Anwar mampu tambah nilai, kekuatan kerajaan PH

Kemenangan yang telah berjaya diraih oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil Parlimen Port Dickson semalam membuktikan di mana sahaja beliau berada rakyat akan tetap menyokongnya.

Bukan sahaja Permatang Pauh dan Pulau Pinang yang memerlukan beliau, sebaliknya Port Dickson dan juga seluruh negara amat mengharapkan kembalinya beliau ke persada politik negara.

Demikian dinyatakan oleh Bendahari Pemuda AMANAH Nasional, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Jelas beliau lagi kembalinya Anwar ke Parlimen akan memberi kekuatan dan tambah nilai kepada kerajaaan Pakatan Harapan (PH).

Malah ujarnya ini adalah berdasarkan kepada pengalaman dan reputasi yang ada pada Anwar sehingga mampu mempengaruhi sokongan majoriti rakyat dimana sahaja ia berada.

“Kemenangan tersebut sudah dijangka kerana Anwar mempersembahkan bentuk kepimpinan yang mampu diterima oleh rakyat dalam negara ini.

“Beliau juga mempunyai pengaruh bukan saja dikalangan ahli Parlimen dalam negara tetapi juga negara luar turut menghurmatinya.

“Secara tidak langsung ia merupakan kemenangan atau lonjakan kekuatan bagi PH sendiri, ” tegasnya lagi.

Hasnul yang juga exco kerajaan negeri Perak turut berkata, sekiranya berlaku rombakan kabinet selepas ini ia harus dilihat dari perspektif yang lebih luas dan terbuka.

“Seandainya rombakan kabinet dilakukan ia adalah untuk menambah baik kepimpinan kerajaan PH.

“Gandingan Perdana Menteri, Tun Mahathir bersama dengan Anwar mampu untuk memantapkan lagi PH.

“Ketokohan Anwar tidak dapat dinafikan dan disangkal kerana beliau pada suatu ketika dahulu pernah menaikkan nama negara setanding dengan negara-negara Asia,” tambahnya lagi

Dalam pertandingan tujuh penjuru semalam menyaksikan Anwar menang dengan majoriti 23,560 undi apabila berjaya mengalahkan calon Pas serta lima lagi calon Bebas.

CATEGORIES