Malaysia Dateline

Anwar ‘maraton’ lima program di Port Dickson semalam

Program jelajah Anwar memastikan setiap hadirin mematuhi protokol kesihatan.

Walaupun berada dalam bulan Ramadan, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih sempat turun padang menyantuni pelbagai lapisan masyarakat dengan menghadiri lima program semalam.

Bermula jam 11.30 pagi menyerahkan peranti pintar kepada anak-anak kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson, jadual ‘maraton’ beliau diakhiri dengan sumbangan Tabung Makanan Teluk Kemang jam 2.45 petang.

Sepanjang tempoh tersebut, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkenaan juga menyampaikan sumbangan Ihya’ Ramadhan kepada seluruh masjid dan surau di Parlimen yang diwakilinya itu.

Presiden PKR tersebut juga sempat beramah mesra bersama anak-anak yatim sejurus selesai solat Zohor di Masjid Jamek Datuk Haji Abdullah Sijang.

“Alhamdulillah, dapat menghulurkan sedikit sumbangan kepada mereka, dan ia sedikit sebanyak akan menceriakan mereka.

“Semoga anak-anak ini terus diberkati dan dirahmati Allah SWT,” ujarnya seperti dikongsi menerusi Facebook rasmi beliau.

Wakil jawatankuasa seluruh masjid dan surau di Parlimen Port Dickson sedang mendengar ucapan Anwar.

Ketua Pembangkang itu kemudiannya singgah di Klinik Kesihatan Pasir Panjang bagi menyerahkan barangan dan kelengkapan pejabat berupa kerusi bankuet, kipas, kerusi roda, dan rak dokumen.

Anwar turut memenuhi undangan Ehsan Group of Companies dalam program Jelajah Ihya’ Ramadhan Ehsan bersama golongan asnaf dan warga emas Parlimen Port Dickson.

“300 penerima dari Parlimen Port Dickson menerima bantuan berupa barangan keperluan asas serta duit raya,” katanya.

Program Anwar pada 8 Ramadan di kawasan yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 13 Oktober 2018 diakhiri di Ancasa Residences Port Dickson.

Beliau telah menyampaikan sumbangan Tabung Makanan Teluk Kemang bagi membantu rakyat yang memerlukan dalam majlis atas inisiatif Pengerusi Tetap Cabang Port Dickson, Ibrahim Khan itu.

Anwar menyantuni anak-anak yatim sejurus selesai solat Zohor di Masjid Jamek Datuk Haji Abdullah Sijang.
Anwar ketika bertanya khabar kepada sekumpulan jururawat di Klinik Kesihatan Pasir Panjang, Port Dickson.