Malaysia Dateline

Anwar merayu golongan profesional, penjawat awam, jangan jadi perkakas orang politik

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu kepada golongan profesional dan penjawat awam agar tidak menjadi ‘perkakas’ kepada orang politik dan tidak diperalatkan oleh mana-mana badan politik.

Beliau berkata, biarkan segala perkara diserahkan kepada orang politik untuk menyelesaikan sesuatu masalah mengikut saluran yang betul.

Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) menerusi kenyataanya pernah menyatakan kekesalannya dengan tindakan pihak kerajaan yang mengarah serta memperalat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untung menghalang pergerakan Ahli Dewan Rakyat memasuki bangunan Parlimen.

“Saya merayu golongan profesional dan penjawat awam memahami perkara ini. Serahkan kepada orang politik untuk menyelesaikan masalah mengikut saluran yang sah dan akhirnya (kami akan) menyerahkan budi bicara kepada Agong untuk putuskan.

“Jangan mereka gunakan kesempatan sekarang ini untuk menjadi perkakas orang politik, menekan, mengugut memantau, dan memerangkap. Jangan,” katanya dalam satu video di Facebooknya hari ini.

Sebelum ini, PH juga memberi amaran kepada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, berhubung arahannya supaya premis Parlimen dikuarantin ekoran tercetus kes Covid-19 di kawasan itu sehingga menyebabkan sesi sidang khas Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan.

PH mengingatkan agar Noor Hisham tidak membenarkan dirinya diperalat demi menutup Parlimen dan menghalang sidang khas seperti yang dititah Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini juga PH menegaskan bahawa kadar positif di Parlimen hanyalah 0.9 peratus dan berpandangan bahawa tidak ada jumlah kes yang signifikan di Parlimen sepanjang empat hari bersidang.