Malaysia Dateline

Anwar minta kerajaan teliti agihan peruntukan elak ketirisan berlaku

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat (Prihatin) yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, beliau melahirkan kebimbangan terhadap proses pengagihan peruntukan kepada semua golongan rakyat di negara ini.

Ekoran itu, beliau tidak mahu agihan bantuan yang diumumkan kerajaan dilakukan orang politik ataupun “perompak” kerana khuatir akan berlaku ketirisan.

“Kita harus teliti peringkat pelaksanaan, apakah pelaksanaan itu tidak mengalami ketirisan dan kebocoran.

“Jangan diserahkan (pelaksanaan) kepada orang-orang politik atau pegawai yang mempunyai rekod yang buruk mencuri dan merompak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam secara langsung melalui Facebooknya selepas pengumuman pembentangan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan petang tadi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion bagi menampung pendapatan rakyat ketika menghadapi serangan wabak COVID-19.

Sementara itu, Anwar juga meminta pakej rangsangan ini dibawa ke Parlimen untuk dibahas dan disokong serta ditambah baik bagi mengangkat ekonomi negara.

“Sekarang ini bila tambah RM25 bilion, dari mana sumber? Bagaimana boleh bayar hutang, bagaimana boleh diperinci pelaksanaanya.

“Saya syor perdana menteri beri pertimbangan serius, beri ruang kepada semua pihak untuk bahas dan beri sokongan dengan maksud memperbaiki,” katanya.