Malaysia Dateline

Anwar minta maaf kepada ahli parti, rakyat susulan kekecohan semalam

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta maaf kepada ahli parti dan rakyat di negara ini berikutan kekecohan yang tercetus ketika Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), semalam.

Mengakui kesal atas kekecohan yang berlaku semalam, Anwar meminta ahli parti supaya kekal tenang memandangkan kes itu masih dalam siasatan pihak polis.

“Saya harap tiada orang yang membuat kesimpulan terburu-buru tentang kejadian semalam. Kes itu sekarang di bawah siasatan pihak polis,” katanya dalam ucapan dasar Presiden PKR, di Kongres Nasional Keadilan Ke-14, yang ketika ini sedang berlangsung di MITC, Ayer Keroh, Melaka.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, menyampaikan ucapan dasarnya di Dewan B sambil disaksikan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; anaknya, Nurul Izzah Anwar; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menerusi pengamatan wartawan, kira-kira 3,000 tetamu merangkumi perwakilan, pemerhati dan jemputan istimewa menghadiri kongres pada kali ini.

Kongres AMK 2019 sesi pagi yang berlangsung di MITC, semalam kecoh apabila sejumlah perwakilan dan ahli sayap PKR itu tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan kongres.

Difahamkan, perwakilan dan anggota AMK tidak dibenarkan masuk oleh skuad keselamatan parti itu dengan alasan tidak mempunyai pas perwakilan dan tidak memakai baju Melayu.

Kira-kira jam 12.10 tengah hari, gelombang kedua insiden pergaduhan melibatkan perwakilan sayap, ‘pemerhati’ berbaju hitam dan skuad keselamatan terus melanda kongres tahunan pemuda parti itu.

Menerusi pengamatan wartawan, gelombang pertama pergaduhan berakhir kira-kira jam 10.15 pagi, namun sekitar jam 12.10 tengah hari, perwakilan sayap itu datang semula di hadapan dewan kongres.

Suasana kembali tegang apabila pihak perwakilan sekali lagi tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan, iaitu lokasi berlangsungnya kongres.

Keadaan menjadi semakin tegang apabila seorang ahli yang memakai kemeja rasmi parti cedera di muka ekoran dibaling batu, manakala pemerhati’ berbaju t-shirt hitam berdarah di kepala.