Malaysia Dateline

Anwar minta Pas dedahkan bayaran untuk selesai kes saman terhadap Rewcastle Brown

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencabar kepimpinan Pas untuk mendedahkan kepada umum bayaran yang dibuat kepada Clare Rewcastle Brown untuk bersetuju menyelesaikan kes samannya di luar mahkamah baru-baru ini.

Katanya pendedahan kepada umum ini akan dapat mengelakkan rakyat daripada terus terkeliru dengan kenyataan-kenyataan yang bercanggah selepas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik saman terhadap wartawan Sarawak Report itu awal bulan ini.

“Saya nak tanya ini (kerana) saya belum dapat kepastian apakah ada bayaran yang diberi kepada Clare dari Pas (supaya bersetuju dengan penyelesaian luar mahkamah). Lebih daripada sejuta (ringgit)? Boleh tak disahkan?” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Antarabangsa Pulau Pinang di Bukit Jambul, Georgetown, hari ini.,

Menurutnya beliau tidak pernah mahu mengulas berhubung kecaman yang dibuat pimpinan PAS terhadapnya sejak akhir-akhir ini namun terpanggil berbuat demikian hari ini berikutan keperluan rakyat untuk mengetahui perkara yang sebenar.

“Saya melihat percanggahan (kenyataan pemimpin Pas) termasuklah (kenyataan) boleh berbohong yang saya sukar nak terima sebagai seorang muslim,” katanya.

– BERNAMA