Malaysia Dateline

Anwar minta rakyat kekal bertenang

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat Malaysia untuk sentiasa bertenang menghadapi situasi ancaman Covid-19.

Dalam ciapan twitternya hari ini, beliau berkata, pada ketika ini juga, semua diminta untuk menghentikan pembelian panik di pasaraya.

“Saya menggesa rakyat untuk bertenang dan hentikan pembelian panik kerana ia tidak menguntungkan sesiapa,” katanya.

Beliau turut menasihati agar rakyat Malaysia termasuk para pelajar yang dicutikan selama tempoh perintah kawal pergerakan, untuk tidak pulang ke kampung halaman.

“Juga kepada semua termasuk para pelajar untuk tidak pulang ke kampung kerana peratus untuk menularnya virus Covid-19 ini amat tinggi,” katanya.

Ketika ini, Malaysia dilanda pembelian panik di pasaraya-pasaraya termasuk ada yang mula mengambil kesempatan pulang ke kampung sepanjang tempoh kuatkuasa perintah kawalan pergerakan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawal pergerakan yang menyekat keseluruhan perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara.

Pada masa sama, selain sekolah-sekolah, Universiti-universiti Awam dan Swasta juga diarah untuk ditutup berkuatkuasa esok sehingga 31 Mac 2020.

Kerajaan juga memutuskan agar premis-premis kerajaan dan swasta ditutup kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara.