Malaysia Dateline

Anwar minta selepas ini politik baharu, waras tanpa dendam kesumat

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua ahli politik menghentikan segala dendam kesumat yang ada sebaliknya memulakan babak politik yang baru lebih waras.

Menurut Anwar, masalah utama di dalam politik negara pada hari ini terlalu banyak dendam kesumat dalam kalangan ahli politik.

“Kamu perintah dalam masa yang sama ada orang yang tekan kamu. Kamu penjarakan aku, aku penjarakan kamu.

“Itu dendam kesumat, inilah patut dihentikan.

“Kita harus mula babak baru politik lebih waras dan tidak menggalakan dasar atau tindakan berdasarkan dendam kesumat,” kata Anwar dalam rakaman video berhubung soal keabsahan terhadap Tan Sri Mahiaddin Md Yassin malam tadi.

Menurut Anwar, pendirian politik yang terlalu diheret dengan kepentingan peribadi sehingga mahu mengumpul kekayaan anak menantu dalam keadaan ekonomi merundum mesti dihentikan.

“Siapa yang berkuasa, nafsu serakah untuk kumpul kekayaan, kegelojohan untuk kaya secara haram melalui rasuah dan kepentingan peribadi mesti dihentikan,” katanya.

Beliau turut memberi peringatan bahawa politik tidak seharusnya dinilai dari segi berapa upah dan jumlah sogokan untuk sokongan.

Justeru beliau menegaskan politik yang baru dibina ini adalah politik bermaruah kembali kepada asas keluhuran perlembagaan.

“Semangat silaturahim, memaafkan dan memulakan babak baru dengan menginsafkan kelemahan kita masing-masing, cuba memperbaiki supaya mengangkat martabat negara sebahagiannya dalam menangani Covid 19 seterusnya mengangkat kedudukan ekonomi rakyat,” katanya mengakhiri ucapan.

Tawar jawatan bertaraf menteri kanan satu penghinaan

Terdahulu, Anwar berkata, adalah tidak munasabah untuk Pakatan Harapan memberi apa-apa pertimbangan terhadap usul Mahiaddin kemukakan nanti kerana usul itu akan dikemukakan oleh perdana menteri yang baru.

Dengan tawaran jawatan bertaraf menteri kanan, bagi Anwar tawaran itu tidak pernah terfikir apatah lagi menyebut dalam keadaan ekonomi yang meleset ini.

“Ya, MP penting tapi nyawa dan kehidupan rakyat lebih penting. Dengan tambahan RM40k ke RM50k saya fikir ia satu penghinaan kepada saya.

“Orang nak dapat RM100 untuk anak-anak dan keluarga pun susah dan kamu pelawa kepada saya RM40k sebulan? Salah pilih.

“Saya terkejut, bila ada pelawaan itu, percubaan ini tidak sensitif dengan survival rakyat hari ini,” kata Anwar.

Di dalam ucapan Mahiaddin semalam beliau menawarkan saraan dan kemudahan kepada ketua pembangkang yang setara dengan menteri kanan sekiranya majoriti ahli Parlimen bersetuju dengan cadangan rentas parti dan meluluskan usul undi percaya pada sidang Parlimen akan datang.

Faedah kepada ketua pembangkang itu adalah antara tujuh perkara yang dijanjikan akan dilaksanakan oleh Muhyiddin jika undi percaya diluluskan.

Ini termasuk pindaan perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang UndangUndang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.