Malaysia Dateline

Anwar minta semua MP utus warkah pada Agong, batalkan darurat, segera bersidang

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua ahli Parlimen mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon agar pengisytiharan darurat dibatalkan dan Parlimen bersidang sesegera mungkin.

Presiden PKR berkenaan mencadangkan mereka menulis warkah itu supaya Parlimen dapat bersidang sebelum akhir bulan ini.

“Dalam surat tersebut saya telah mencadangkan kepada semua ahli parlimen supaya mengemukakan rayuan dalam kadar segera.

“Warkah tersebut juga hendaklah disesuaikan menurut pertimbangan semua ahli parlimen atau parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini hanya memiliki sokongan 109 Ahli Parlimen daripada 220 ahli Dewan Rakyat.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berharap warkah tersebut nanti mendapat ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik pengisytiharan darurat.

Beliau juga berharap Seri Paduka Baginda seterusnya menitahkan agar sidang Parlimen harus diadakan dalam kadar segera sebelum 31 Januari ini untuk membahaskan isu darurat, Covid-19 dan kemelut ekonomi yang melanda negara.

Pengisytiharan darurat sehingga 1 Ogos nanti atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dikritik banyak pihak sebagai lebih kepada darurat politik.

Pakar Perlembagaan juga bimbang proklamasi darurat menjadikan kuasa kerajaan PN terlalu luas dan tiada proses semak dan imbang sehingga boleh melanggar sekatan-sekatan yang ada di dalam Perlembagaan.

Dalam perutusan khas Perdana Menteri pada 11 Januari lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu sepanjang tempoh darurat, Parlimen akan digantung dan sebarang bentuk pilihan raya tidak akan diadakan.

Sebaliknya, kata Presiden Bersatu itu, badan kehakiman, kerajaan awam dan kegiatan ekonomi akan berjalan seperti biasa.