Malaysia Dateline

Anwar nafi calon PKR tidak semestinya dari Sabah

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beberapa dakwaan laporan media kononnya calon yang akan mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak semestinya berasal dari negeri itu.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau sama sekali tidak pernah menyebut mengenai hal tersebut sebaliknya menegaskan pemilihan calon yang akan mewakili parti berkenaan perlu berdasarkan integriti mereka.

Jelasnya lagi, ucapannya yang menyebut ‘bukan dari mana’ telah disalah tafsir pihak media ketika beliau berucap merasmikan Jentera Pilihan Raya PKR Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, pada 6 September lalu.

“Kenyataan ‘bukan dari mana’ yang disebutkan semasa dalam ucapan bermaksud seseorang calon itu tidak semestinya berasal dari daerah atau kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parlimen yang sama, sebaliknya mereka berpotensi untuk dicalonkan di kawasan lain.

“Contohnya sekiranya calon tersebut berasal dari Inanam tidak semestinya beliau akan bertanding di kerusi tersebut,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Anwar berkata, calon yang akan mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 September ini tidak semestinya berasal dari Negeri di Bawah Bayu itu.

“Kalau pilih orang yang tiada komitmen, sama sahaja. Isunya bukan suku kaum mana, isunya ‘bukan dari mana’ tetapi mampukah kita latih orang yang punya integriti,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar berharap agar pihak media lebih bertanggungjawab dengan laporan yang dikeluarkan dan dalam masa sama dapat menerbitkan berita sahih dan seimbang kepada semua pembaca mereka.