Malaysia Dateline

Anwar nafi rakaman audio dengan Zahid, arah pegawai lapor polis

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan suara mirip sepertinya dalam satu rakaman perbualan dengan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tular di media sosial semalam.

Beliau berkata, rakaman tersebut sengaja mahu mempergunakan PKR dalam pergolakan politik antara Bersatu dan Umno.

“Ini nak gunakan kita (untuk) nak lawan politik dalam Umno. Nak gunakan kononnya perbualan saya dengan Datuk Seri Zahid, untuk politik Bersatu menikam pimpinan Umno.

“Ini bukan kerja saya,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian dan Pelancaran Bilik Gerakan Utama Keadilan Selangor, malam tadi.

Anwar berkata, beliau juga telah mengarahkan pegawainya membuat laporan polis agar siasatan dapat dilakukan untuk mencari dalang penyebaran audio yang bukan miliknya itu.

Beliau juga meyakini sememangnya ada individu yang memiliki suara mirip dengannya.

“Ada suara macam saya. Saya tak peduli. Nyata ada usaha untuk memfitnah, dengan (cara) lebih canggih.

“…Dan supaya dalam Keadilan (nanti) orang tanya, DAP atau AMANAH juga akan persoal. Nasib baik kita ini rakan setia, tak mudah akan tergugat dengan fitnah macam ini,”

“Saya malam ini ingin nyatakan bukan sahaja penafian, tetapi ternyata, ia menunjukkan betapa gundah-gulananya pimpinan negara ini mencari apa saja tipu helah, ugut, beri orang rasuah, (kalau) tak makan (rasuah), maka dia sebar fitnah,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid menafikan terdapat perbualan antara beliau dengan Anwar Ibrahim seperti yang dilaporkan media-media semalam

Menurut Ahmad Zahid, tiada sebarang perbualan yang berlaku antaranya dan Anwar selepas Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020.

Beliau juga menyifatkan rakaman audio yang disebarkan itu merupakan percaturan politik yang jijik.