Anwar nasihat selesaikan isu MB Perlis secara berhemah

Anwar nasihat selesaikan isu MB Perlis secara berhemah

Polemik pelantikan Menteri Besar Perlis turut mendapat perhatian daripada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau ketika ditemui selepas tazkirah Jumaat di Masjid Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam menasihatkan supaya isu tersebut diselesaikan dengan cara baik dan berhemah.

Malah katanya, siapa yang mendapat majoriti sokongan boleh menerajui kepimpinan negeri tersebut.

Samada pilihan raya umum negeri Perlis harus diadakan atau sebaliknya beliau berkata, Titah Tuanku juga harus diberi perhatian disebalik apa yang sedang berlaku.

“Selain itu pandangan Perdana Menteri juga diperlukan bagi menyelesaikan konflik yang sedang berlarutan.

“Bagi mengetahui samada mana-mana pimpinan atau Adun mendapat majoriti maka ia haruslah dilakukan melalui mesyuarat bagi mendapat keputusan sebenar.

“Ia boleh dilaksanakan dengan mendapat persetujuan masing-masing samada mereka menerima atau sebaliknya mana-mana calon yang dicadangakan, ” ujarnya lagi.

Tegas Anwar lagi, tindakan mensabotaj tidak perlu diambil oleh mana-mana pihak dalam kemelut yang sedang berlaku.

“Seandainya saya sendiri pun, sabotaj bukan jalan penyelesaian.

“Sebaiknya krisis yang berlaku di Perlis diselesaikan dengan baik dengan segera.

“Mendapat mandat daripada setiap Adun samada mereka menyokong atau sebaliknya merupakan mekanisma yang terbaik boleh dilaksanakan, ” tambahnya lagi.

Anwar sempat beramah mesra dengan jemaah yang turut bersalam-salaman dengan beliau semasa hadir untuk menyampaikan tazkirah serta solat Jumaat.

9.3
OVERALL SCORE
: 8.0
2 user votes x 10.0