Malaysia Dateline

Anwar perlu berdepan dengan realiti

Biar berterus-terang, soal sama ada Anwar Ibrahim harus berundur, bukan dilema terbesar buat Pakatan Harapan. Persoalan yang menjerut persoalan di atas, siapakah pengganti Anwar Ibrahim?

Secara jujur, saya antara yang bersimpati dengan Anwar Ibrahim. Media sosial sarat dengan kritikan yang tidak adil terhadapnya, memperbesarkan kesilapannya tanpa meneliti konteks sehingga beliau dituduh sebagai sosok yang membinasakan pembangkang.

Kritikan melampau ini sering dipandang sebagai ‘berniat jahat’ dari kaca mata pembela Anwar, lalu diperlekehkan begitu sahaja. Sedangkan hakikatnya, Anwar memang melakukan beberapa kesilapan dalam percaturan politik, terutamanya selepas Langkah Sheraton.

Lantas soal kepimpinan Anwar gagal dirungkaikan sebaik-baiknya. Pengkritik Anwar menanti-nantikan setiap kesempatan untuk mendesak agar beliau berundur, sementara pembela Anwar pula membutakan diri ketika berdepan dengan realiti.

Malangnya, andainya keadaan sebegini dilanjutkan, kemungkinan besar ia berakhir dengan Anwar kekal pada kedudukan itu, dengan segala masalah yang membelenggu PH dan Anwar, gagal diselesaikan.

Jikalau dirumuskan beberapa kesilapan yang dilakukan Anwar selepas Langkah Sheraton, bermula dari – dakwaan memiliki majoriti yang meyakinkan (untuk menubuhkan kerajaan baru) (23 September 2020), minta tiada undi belah bahagi dalam Dewan Rakyat untuk Belanjawan 2021 di peringkat dasar (26 November 2020), hinggalah kekalahan PH khususnya PKR dalam PRN Melaka (kerana menerima ‘katak’) (20 November 2021) – ia berkisar kepada soal kredibiliti.

Kredibiliti tercalar

Bukan kali pertama Anwar mendakwa dirinya memiliki angka atau kerusi. Paling epik apabila penyokongnya berkumpul di Stadium Kelana Jaya pada malam 15 September 2008, menaruh keyakinan bahawa Anwar Ibrahim akan menubuhkan kerajaan baru pada keesokannya.

Ada pembohongan yang dijadikan kebenaran setelah berkali-kali diulangi, tetapi ada juga pembohongan yang dikantoikan setelah berkali-kali dikecewakan. Suka atau tidak, ‘strong, formidable, convincing’ kini menjadi bahan lawak dalam kalangan peminat politik.

Mungkin kesilapan Anwar di atas boleh dimaafkan oleh sesetengah penyokongnya, menyedari bahawa Anwar sebenarnya mengharapkan ‘lakonan itu bertukar menjadi realiti’.

Maklumlah, babak itu tidak lain tidak bukan sebahagian daripada perang saraf, agar Ahli Parlimen yang terpedaya, berpaling tadah untuk menyebelahi Anwar. Anwar menggalas misi untuk melakar sejarah, maka beliau terpaksa melakukan apa sahaja untuk menggarap matlamat itu, termasuk menggadaikan kredibiliti dirinya, bukan?

Toleransi tanpa batas inilah yang memanjakan Anwar. Akhirnya Anwar berada di ambang untuk membuka pintu atau tidak kepada kluster mahkamah dari Umno supaya dirinya boleh mengembalikan kuasa yang dirampas Mahiaddin Md Yasin dari tangan PH.

Anwar sanggup memperjudikan integritinya ke tahap itu. Tanpa disedari, menang atau gagal kesudahannya, integriti Anwar tergadai. Apapun kesudahannya, persepsi wujudnya rundingan bersama kluster mahkamah telah terpahat, kerana tiada penafian tegas oleh Anwar dalam hal ini.

Jadi, apakah yang boleh dijawab Anwar apabila ditanya bagaimana PH yang bangkit dengan menentang kleptokrasi, boleh bersekongkol dengan kleptokrat demi kuasa? Masalah yang menyusul kemudian, bagaimana penyokong PH yang menolak rasuah selama ini, teruja untuk pulang mengundi?

Dosa kolektif PH

Inilah antara dosa-dosa terbesar Anwar dari kaca mata sesetengah penyokong PH. Namun saya melihat ia sebagai ‘dosa kolektif’ yang sepatutnya ditanggung bersama semua pimpinan PH.

Jikalau kita tidak mudah lupa, sejurus PH hilang kuasa lantaran Langkah Sheraton, Anwar diamanahkan tugas untuk mengembalikan kuasa Kerajaan Persekutuan.

Malah diasak bahawa calon perdana menteri PH harus diserahkan kepada Mahathir Mohamad dan Shafie Apdal (Presiden Warisan yang bukan komponen PH), andainya Anwar gagal menyempurnakan misi tersebut.

Pada masa yang sama, kita sedar beberapa fraksi dalam Perikatan Nasional yang dipikat untuk menyeberang, enggan berbuat demikian bukan semata-mata kerana faktor Anwar. Gabungan Parti Sarawak (GPS) misalnya, enggan menyertai PH kerana DAP.

Dalam situasi Pas dianggap konservatif, Bersatu dilihat sebagai pengkhianat, maka Umno sahaja pilihannya. Kebetulan fraksi Khairy Jamaluddin, Hishammuddin Hussein dalam Umno enggan menyertai PH, jadi apa lagi pilihan yang ada, jikalau tetap mahu berkuasa?

Justeru itu, tidak adil untuk mempersalahkan Anwar seorang kerana gagal merampas semula kuasa. Mudah kita menggariskan syarat supaya kelihatan kekal berprinsip, tetapi pada masa yang sama beria-ia untuk menggenggam kuasa.

Cuma, pilihan yang tinggal dalam realiti adalah, sama ada menjadi pembangkang yang berprinsip, atau penguasa yang berkompromi.

“Dunia tidak berlaku adil kepada saya”

Apapun, saya mengaku bahawa Anwar kelihatan teragak-agak dan tidak menampilkan kepimpinan yang tegas dalam hal ini. Sosok ini menampakkan perubahan yang ketara terutamanya sejak bebas dari penjara, menzahirkan tanggapan bahawa beliau sedang menurun dari kemuncak dalam hayat politiknya.

Emosi bahawa ‘dunia tidak berlaku adil kepada saya’ terus menghantui Anwar.

Anwar mungkin menganggap dirinya yang berkorban untuk meringkuk dalam penjara demi pendemokrasian politik Malaysia, tetapi Mahathir Mohamad pula yang menuai hasilnya untuk menerajui tampuk kuasa.

Lebih-lebih lagi, Mahathir menerima sanjungan tinggi dalam kalangan rakan seperjuangan Anwar setelah berjaya merampas kuasa dari Umno, seolah-olah dilupakan dosa-dosa lampaunya yang mencerobohi demokrasi Malaysia.

Barangkali situasi ini mengubah fikiran Anwar, bahawa manusia memuja sesiapa yang menang dan berkuasa, malah sanggup memadamkan kebobrokan yang pernah dilakukan.

Boleh jadi fikiran ini bermain dalam otak Anwar: Jikalau akhirnya saya berjaya mendaki ke puncak kuasa, siapa kisah apa caranya saya sampai ke situ?

Emosinya mungkin lebih tidak seimbang apabila Najib Razak dilambung semula, meraih populariti yang lebih tinggi berbanding Anwar. Bayangkan, seorang tertuduh yang disabitkan kesalahan pecah amanah dengan nilai wang RM42 juta, boleh bangkit semula dengan gelaran Bossku.

Terus merayau-rayau di luar penjara, malah memohon ganjaran rumah bernilai RM100 juta; sedangkan Anwar yang pernah tiga kali masuk ke penjara (termasuk kem tahanan ISA pada zaman 1970-an) lantaran perjuangan demokrasi, kini dihina seolah-olah martabatnya lebih rendah daripada Najib?

Berundur?

Saya tidak suka menggunakan “nasib” untuk menjelaskan segala yang menimpa Anwar, tetapi sememangnya situasi tidak memihak kepada Anwar buat masa kini. Tiada tokoh politik yang sentiasa berada di kemuncaknya selama-lama.

Anwar bukan lagi Anwar pada tahun 2008 atau 2013, beliau bukan lagi memimpin tetapi diheret oleh langkah perubahan dan seringkali serba salah dibuatnya. Kelemahan Anwar terserlah apabila beliau menyerang Khairy Jamaluddin dalam isu vaksin, tetapi dibalas dengan jawapan mantap oleh bintang politik yang dilihat lebih bersinar sekarang.

Bayangkan, Pilihan Raya Negeri Sarawak bakal berlangsung pada bulan Disember 2021. Kita hampir pasti PH akan tewas sekali lagi, dalam suasana politik sebegini, dengan senario seadanya di bumi kenyalang itu.

Sudah tentu Anwar akan menerima tamparan susulan daripada kekalahan ini, kerana ianya ‘satu lagi kekalahan di bawah pimpinan Anwar Ibrahim’.

Umpama terkurung dalam sangkar berduri, semakin Anwar meronta-ronta untuk membebaskan dirinya, semakin dirinya terluka ditusuk duri. Penyokong Anwar akan terkagum dengan semangat lawannya yang enggan menyerah kalah dan berputus asa selagi dirinya belum menjejak ke puncak kuasa, tetapi bagaimana jikalau keberadaannya menjadi beban kepada PH untuk mara ke depan?

Untuk saya, jasa dan pengorbanan Anwar sepanjang hayat politiknya wajib diiktiraf. Beliau pencetus gelombang reformasi dan beliau pengasas Pakatan Rakyat, turut bersama membina kekuatan pembangkang sehingga apa yang kita kecapi hari ini.

Umpama Lee Chong Wei, yang hanya tertinggal pingat emas Olimpik dan Juara Kejohanan Dunia, Anwar hanya tertinggal satu jawatan tertinggi, iaitu Perdana Menteri.

Namun Lee Chong Wei tetap legenda badminton, yang tidak boleh dinafikan sesiapa. Begitu juga Anwar, tetap tokoh politik tanah air yang berpengaruh dan berjasa, tanpa boleh disangkal sesiapa.

Bayangkan, andainya Lee Chong Wei enggan bersara pada tahun 2019, agak pasti beliau tidak kesampaian untuk pingat emas Olimpik 2020 (dengan keadaan kesihatannya juga kebangkitan pemain muda di seluruh dunia), dan mungkin kita gagal menyaksikan kemunculan Lee Zii Jia.

Apakah prestasi Lee Zii Jia lebih hebat daripada Lee Chong Wei? Tidak untuk sekarang, tetapi siapa tahu apakah yang akan terjadi pada masa depan?

Begitu juga, sesungguhnya pembangkang tidak memiliki pengganti Anwar yang lebih unggul daripada Anwar buat masa sekarang, namun kita perlu sedar bahawa kita tidak boleh bergantung kepada Anwar buat selama-lamanya.

Anwar telah melakukan segala yang terbaik pada zamannya, untuk generasinya, dan terpulanglah kepada generasi baru untuk meneruskan perjuangannya.

Akhir kata, daripada Anwar terus dijadikan tumpuan kritikan (sama ada adil atau tidak), atau dipersalahkan untuk segala-galanya, lebih baik andainya beliau memilih untuk berundur, sekurang-kurangnya buat sementara waktu, memberi ruang agar pemimpin generasi baru mengisi kekosongan kepimpinan, dan diuji dengan cabaran masa kini.

Siapa tahu, andainya satu hari nanti, apabila sosok Anwar diperlukan, sebagaimana Mahathir diperlukan dalam PRU14, beliau boleh kembali sebagai tokoh untuk menyempurnakan kemenangan?

Lebih penting, Anwar akan diperingati sebagai tokoh yang memacu pendemokrasian politik Malaysia, berjiwa besar, sanggup berada di garisan depan untuk berkorban, sudi berundur untuk memberi laluan kepada generasi muda, dan bersedia kembali apabila diperlukan.

Jikalau inilah teladan yang ditegakkan, nama-nama politikus lain yang masih tidak tahu malu untuk berlegar-legar di gelanggang politik, hanya layak menjadi benang basah.