Malaysia Dateline

Anwar perlu bijak prioriti, usah tersilau dengan umpan

Apa pun gerak politik yang diusahakan oleh mana-mana pemimpin atau parti sekarang, pertimbangan utama adalah sejauhmana ia memberi impak kepada pengundi dalam pilihan raya akan datang.

Rasanya perlumbaan untuk mendapatkan “cukup bilang” bagi menukar kerajaan dan mencari Perdana Menteri sudah tidak begitu relevan.

Namun begitu, Muhyiddin Yassin sepatutnya menamatkan polemik tentang keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan membuka kembali sidang Parlimen.

Di pihak Pakatan Harapan (PH), blok terbesar koalisi politik, tumpuan harus difokuskan untuk memperkukuhkan jentera pilihan raya (termasuk aspek tabungan dana), merapatkan barisan kepimpinan dan saf penggerak, mengurangkan perselisihan di antara pembangkang serta menarik sokongan lebih besar pengundi khususnya anak-anak muda.

Malang sekali PH, apabila parti pembangkang dan kumpulan individu berpengaruh di luar PN dilihat membazirkan masa yang agak lama.

Sejurus mandat rakyat dikhianati hujung Februari 2020, perdebatan hangat sekitar faktor Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim. Pembangkang tidak dapat mencapai kata sepakat calon Perdana Menteri menyebabkan Muhyiddin terselamat. Banyak masa dan sumber terbazir.

Anwar mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat PKR pada 18 Mac lalu.

“Pembulian” Bersatu

Mungkin perbahasan mengenai faktor Mahathir seakan reda, meletus pula isu apakah PH perlu melebarkan persefahaman politik dengan Umno pula. Perkongsian kuasa di antara Umno dan Bersatu dalam kerajaan PN sedang meniti liku-liku sukar.

Hanya menunggu keputusan rasmi di kala akar umbi dan para pemimpin Umno tidak lagi berselindung meluahkan kekesalan dengan “pembulian” Bersatu itu.

Tentu sekali tidak mudah pendukung PH terutama daripada kalangan AMANAH dan DAP untuk bersekutu, secara formal atau tidak langsung dengan Umno.

Meskipun secara umumnya pintu perbincangan tetap terbuka dengan mana-mana individu atau parti politik atas prinsip-prinsip tertentu yang disepakati, namun pandangan umum khalayak juga mesti diambil kira. Apatah lagi pendirian dan sikap politik rakan-rakan sekutu PH.

Eksperimen panjang ahli-ahli dan pendukung AMANAH-DAP berdepan kerenah penguasa Umno pasti berbeda dengan pengalaman penyokong setia Anwar. Presiden PKR itu juga merupakan saf kepemimpinan tertinggi Umno selama lebih 16 tahun, termasuk setengah dasawarsa sebagai orang nombor dua parti.

Secara lebih khusus, tentu sedikit sebanyak tersimpan hubungan sentimental antara Anwar dan Najib Razak, Penasihat BN. Najib, bekas Perdana Menteri yang dihukum mahkamah atas pelbagai kesalahan serius, adalah regu Anwar dalam barisan pimpinan Pemuda pada awal 1980-an.

“Minta nyawa”

Semasa berlaku pemilihan Umno pada 1993, mereka berdua juga dalam satu pasukan, Team Wawasan. Dan dilaporkan pada malam keputusan PRU14, selepas PH disahkan menang, Najib ada menghubungi Anwar kemungkinan untuk “minta nyawa”. Petanda hubungan Najib-Anwar tidak setegang Najib-Mahathir.

Merujuk hubungan Anwar dengan Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Umno, ia disifatkan lebih akrab dan mendekati berkongsi idealisme perjuangan hampir sama.

Sewaktu Anwar dipecat daripada semua jawatan dalam Umno dan kerajaan pada September 1998, Zahid adalah Ketua Pemuda Umno.

Zahid dilihat hadir menyatakan solidariti buat Anwar di Bukit Damansara pada hari-hari awal yang penuh kritikal itu. Zahid turut ditahan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersama kumpulan penyokong Anwar.

Dalam perhimpunan Umno 1998 sejurus sebelum Anwar disingkirkan, Zahid melemparkan kritikan keras kepada Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Mahathir. Kecaman Zahid itu disifatkan sebagai menyambung serangan Anwar kepada Mahathir, dalam isu-isu kronisme, nepotisme dan korupsi.

Selain itu, mutakhir ini dua tokoh yang dilihat menjadi rujukan dekat Anwar, iaitu Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung PKR dan Johari Abdul, Ketua PKR Kedah, juga mempunyai hubungan rapat dengan Zahid, terutama dalam konteks pergerakan Pemuda Umno 1990-an.

Tidak mudah untuk AMANAH dan DAP bersekutu secara formal atau tidak langsung dengan Umno.

Kluster mahkamah

Justeru, tidak hairanlah apabila Umno di bawah Zahid dan pengaruh besar Najib boleh membuka laluan untuk berunding dengan Anwar. Zahid dan Najib yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran Muhyiddin turut menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri, dalam surat mereka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Memang dinamika politik Malaysia kadang-kadang tidak terduga, namun bagi gabungan yang menawarkan agenda perubahan, Anwar sebagai Pengerusi PH harus lebih berhati-hati.

Sensitiviti akar umbi dan rekod pemimpin Umno sewaktu berkuasa dahulu tidaklah sampai menutup pintu rundingan, namun penjelasan di atas begitu banyak kemusykilan harus diberikan.

Persoalan “kluster mahkamah” tidak boleh diremehkan atau dipandang ringan. Masyarakat sedang menilai isu pertelingkahan di antara Umno-Bersatu ini; apakah ia melibatkan agenda penting rakyat ataupun sekadar perebutan kuasa sesama anggota kerajaan “tebuk atap”?

Sikap politik DAP untuk bekerjasama dengan Umno tidak sukar untuk ditelah. Semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) ditubuhkan pasca tragedi 13 Mei dahulu pun, DAP tidak menyambut undangan sepertimana Gerakan, PPP dan Pas.

Malah, persepsi negatif sebahagian besar pengundi bukan Melayu — yang menjadi penyokong kuat DAP — kepada Umno, rasanya tidak berubah. Umno dilihat masih mewarisi tabiat lama. Tempoh 22 bulan berstatus pembangkang terlalu sekejap untuk “menginsafkan” Umno.

Anwar sebagai Pengerusi PH harus lebih berhati-hati kerana persoalan “kluster mahkamah” tidak boleh dipandang ringan.

Kompas moral

Di pihak AMANAH pula, sifirnya lebih mudah difahami. Parti Islam yang memilih pendekatan inklusif, progresif dan moderat ini sendiri tertubuh apabila para penggeraknya sewaktu dalam Pas pada 2015 menentang keras usaha kerjasama dalam gelap dengan Umno.

Sepertimana kata seorang pemimpin AMANAH, ketika Umno dilihat tidak pun pernah berubah daripada amalan buruk semasa memerintah dulu, maka jika PH sedia menjalin hubungan dengannya, yang dilihat rakyat sudah berubah dan meninggalkan kompas moral itu adalah PH sendiri. Jangan jadi, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Anwar boleh sahaja bergerak untuk mengumpulkan sokongan ahli-ahli Parlimen sebelum PRU15, tetapi prioritinya mesti jelas dan jangan terbuai oleh “umpan” Umno.

PH masih blok terbesar yang bukan sahaja dipertahankan, tetapi mesti dimantapkan. Idea “grand coalition” parti-parti di luar PN harus diteroka dengan jiwa besar dan berstrategik. Persepsi umum masyarakat yang lebih luas mesti ditangani secara lebih bijaksana.

Rekod buruk PN berkaitan pengurusan pandemik Covid-19, proklamasi Darurat dan krisis teruk ekonomi adalah cabaran sekali gus potensi atau peluang terbesar bagi memulihkan keyakinan kepada PH.