Malaysia Dateline

Anwar perlu letakkan pasukan muda hadapi PRU 15 jika mahu menang

Presiden Keadilan dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta meletakkan pasukan muda yang kuat dan boleh dipercayai sekiranya mahu parti itu dan PH mencapai kejayaan dalam pilihan raya umum ke 15 nanti.

Ahli Parlimen parti itu, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam tulisannya berkata, ini kerana kebanyakan pengundi yang akan mengundi dalam PRU-15 nanti lahir di era selepas Reformasi dan tidak faham dengan perjuangan itu.

“Apa yang saya perkatakan tentang keinginan generasi muda mampu dicapai sekiranya Presiden Keadilan, Anwar Ibrahim mampu meletakkan pasukan muda yang kuat dan boleh dipercayai,” kata Ahli Parlimen Setiawangsa dalam tulisan itu.

Katanya, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk PH dan PKR memenangi pilihan raya umum yang seterusnya.

“Kita perlu bersedia dengan permainan yang akan dilakar oleh Umno,” kata beliau.

Katanya, PKR dan PH telah menghadapi fasa-fasa yang sukar sejak beberapa bulan kebelakangan ini, ketika rakyat mengharapkan prestasi mereka berada di tahap yang tertinggi untuk membantu mereka.

“Rakyat mahukan reformasi – pada sektor kesihatan, ekonomi dan perubahan iklim.
Hanya dengan matlamat dan azam yang betul kita akan dapat mengembalikan keyakinan kepada rakyat. Proses mendapatkan kepercayaan rakyat harus segera kita mulakan,” katanya.

Katanya, demografi pengundi Malaysia setelah Undi18 dilaksanakan akan menyaksikan penambahan 5.8 juta pengundi dengan 1.2 juta pengundi berumur di antara 18 sehingga 21 tahun.

“Sekiranya PRU15 diadakan pada tahun ini, pengundi termuda lahir pada tahun 2004 – selepas tercetusnya Reformasi.

“Kita harus tetap berbangga dengan sejarah yang dimiliki oleh Keadilan, namun kita harus mencari jalan untuk menjadi relevan dalam kalangan pengundi-pengundi muda,” katanya.

Sebagai contoh yang mudah, katanya, mereka harus membiasakan diri dengan aplikasi yang terkenal dengan demografi anak muda – seperti TikTok.

“Kita harus menggunakan platform seperti ini untuk menyampaikan mesej tentang apa yang kita perjuangkan.

“Kita tidak boleh berada pada takuk yang lama – masih lagi menggunakan isu-isu ketika PRU14 sebagai modal.

“Saya yakin pengundi-pengundi sudah mula muak dengan isu-isu yang sama berulang kali,” kata beliau.

Katanya, PH dan PKR sudah pernah menjadi kerajaan Persekutuan. Mereka juga memiliki kerajaan di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan.
“Rakyat akan menilai kita ketika kita sedang berkuasa,” katanya.

Ketika menjadi kerajaan selama 22 bulan, selain daripada Undi18, PH juga cuba mengembalikan hak keistimewaan untuk Sabah dan Sarawak yang akhirnya gagal kerana permainan politik Umno, Pas, dan GPS!

“Kita juga mendesak supaya gaji minimum dinaikkan, dan menjadikan sekolah mudah diakses untuk semua. Kerajaan ketika itu juga lebih terbuka kepada media.

“Cuma tempoh 22 bulan ini juga ada cacat dan kelemahannya. Ia adalah masa yang sesuai untuk kita semua jalan ke hadapan dan fokus membantu rakyat,” katanya.