Anwar perlu segera anggotai kabinet, elak persepsi dan spekulasi, kata Dr Zaidi

Anwar perlu segera anggotai kabinet, elak persepsi dan spekulasi, kata Dr Zaidi
Dr Zaidi Zakaria

Senario politik terkini negara tidak harus dipandang ringan kerana ia mempunyai sejarah tersendiri sehingga Pakatan Harapan (PH) berjaya menguasai pemerintahan kerajaan kini, kata Ketua AMANAH Kawasan Permatang Pauh, Dr Zaidi Zakaria semalam.

Menurut beliau lagi, diawal pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dua perkara yang amat penting perlu direalisasikan ialah beliau kembali ke Parlimen dan menganggotai kabinet.

Malah jelas beliau lagi, tidak timbul isu ‘gelojoh’ untuk peralihan kuasa, namun ia amat penting bagi kestabilan politik semasa.

“Kedudukan yang sah akan mengurangkan persepsi dan spekulasi.

“Tanpa kedudukan yang sah, segala percakapan, kenyataan serta tindakan akan terus dipertikai dan diputar belit oleh musuh-musuh yang tidak kurang juga bagi mereka yang berkecuali.

“Rentetan itu Anwar telah mengambil tindakan pertama dengan kembali ke Parlimen melalui langkah Port Dickson, sekaligus menerajui kerusi Presiden PKR, ” ujarnya lagi.

Dr Zaidi yang juga merupakan bekas calon AMANAH bagi Parlimen Kepala Batas turut berkata, kedudukan Anwar sebagai Ahli Parlimen serta Presiden parti yang sah, menyebabkan kenyataan dan tindakan beliau kurang dipertikaikan lagi oleh rakyat maupun ahli parti.

Walau bagaimana pun jelasnya, Anwar tetap tidak mempunyai ‘locus standi’ untuk bercakap soal keputusan Jemaah Menteri maupun keputusan aras tinggi kementerian dan agensi-agensi kerajaan, kerana beliau bukannya anggota kabinet yang sah.

Natijahnya, kata beliau, sekiranya Anwar tidak bersetuju dengan keputusan kabinet sekalipun, ia akan terus menjadi spekulasi, persepsi, polemik dan kritikan bertali arus dari pihak yang menyokong atau menentang keputusan kabinet ataupun keputusan Anwar sendiri.

“Perkara sebegini adalah tidak baik untuk sebuah kerajaan.

“Bahkan pelabur-pelabur juga boleh mengambil sikap tunggu dan lihat ataupun berbelah bahagi.

“Ekoran itu jugalah maka Anwar perlu segera menganggotai kabinet, biarpun segala keputusan yang dicapai adalah hasil konsensus dan sinergi dari semua serta satu pasukan,” tegasnya lagi.

Kata Dr Zaidi lagi, jawatan yang paling sesuai untuk Anwar dengan semua jawatan Menteri Kanan telah pun diisi oleh pemimpin tertinggi komponen PH.

Beliau juga menyatakan bahawa PKR telah pun mengisi dua portfolio tertinggi iaitu Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan Menteri Ekonomi.

“Datuk Seri Dr Wan Azizah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri atas kapasiti sebagai Presiden PKR sebelum ini, namun begitu kini beliau hanyalah seorang ahli biasa.

“Atas kapasiti dan hieraki kedudukan dalam parti, Anwar sebagai Presiden PKR kini, perlu mengisi kedudukan sebagai TPM kerana hieraki kedudukan dalam parti harus seiring dengan kedudukan dalam kerajaan.

“Jika ini dapat dilaksanakan maka ianya dilihat berwibawa dan berpengaruh samada dalam parti maupun dalam kerajaan, ” sarannya lagi.

Tambah beliau lagi, sebagai Presiden PKR, Anwar perlu menduduki kerusi TPM serta dapat mengurangkan spekulasi, persespsi, polemik, prejudis dan kritikan yang negatif.

Maka itu katanya, proposal untuk Anwar segera kembali menganggotai kabinet, tiada kena mengena dengan ungkapan ‘gelojoh’ tetapi ianya adalah untuk kestabilan jangka panjang politik PH dan juga negara.

Jelasnya lagi, polemik ‘PM Menanti atau PM in waiting’ sekiranya tidak diurus dengan baik dan berhati-hati, akan menjadi satu beban kepada kestabilan kerajaan dan tidak harus dipandang ringan.