Malaysia Dateline

Anwar pernah tolak tawaran jawatan Presiden UIAM

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau sebelum ini pernah menolak tawaran jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang kini disandang Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Anwar berkata pada masa ini, perkara penting baginya adalah memberi sokongan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kerja saya sekarang apa Tidak ada jawatan apa-apa…saya beritahu kepada Tun Mahathir juga, ketika ini saya tidak mahu apa-apa.

“Baru-baru ini dicadangkan sebagai presiden UIAM, juga saya tidak mahu kerana saya nak sokong kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir supaya kuat,” katanya ketika berucap pada ceramah perdana bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Seri Setia malam tadi lapor Bernama.

Turut hadir calon PH bagi PRK Dun Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

Pelantikan Maszlee sebagai Presiden UIAM mencetuskan kritikan termasuk daripada Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R. Sivarasa yang berkata pelantikan itu perlu dikaji semula supaya ia selaras dengan manifesto kerajaan PH.