Malaysia Dateline

Anwar persoal mengapa universiti tempatan tidak membangunkan vaksin Covid-19

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoal peranan universiti dan badan penyelidikan tempatan dalam pembangunan vaksin Covid-19 bagi membolehkan bahan itu dikeluarkan dalam negara.

Menerusi kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, penting untuk rakyat dan negara tahu berapa cepatkah fasiliti pengeluaran vaksin pandemik tersebut akan dibangunkan.

Jelasnya, hal tersebut memandangkan, kerajaan pernah menyatakan bahawa pengeluar-pengeluar vaksin perlu berkongsi pengetahuan mengenai pembuatan vaksin dengan negara ini.

“Mengapakah universiti-universiti tempatan serta badan-badan penyelidikan tidak berada di barisan depan dalam mengkaji serta membangunkan vaksin?

“Kita mempunyai pengalaman dalam membangun penawar bagi virus Nipah sebelum ini, dan ia membuktikan kita mempunyai keupayaan bagi mengkaji, menyelidik dan membangunkan vaksin,” katanya.

Tahun lalu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim berkata, pihaknya sedang membincangkan secara serius kepentingan mewujudkan segera sebuah pusat penyelidikan pembangunan vaksin bagi membolehkan vaksin dikeluarkan dalam negara.

Katanya, pembangunan pusat itu dilihat sangat signifikan bagi menghadapi cabaran penularan sesuatu penyakit berjangkit atau wabak pada masa akan datang selain wabak Covid-19.

Beliau turut memberitahu negara pernah mempunyai makmal kajian bioteknologi yang maju sebelum ini serta memiliki ramai pakar dalam bidang tersebut.

Walau bagaimanapun, jelasnya, barangkali penumpuan tidak diberikan selama ini kerana tidak menjangkakan akan berdepan dengan situasi pandemik Covid-19.

“Cuma kita tidak boleh hendak katakan ia (vaksin) akan dikeluarkan dalam masa terdekat kerana perlu difahami, penghasilan satu-satu vaksin melibatkan proses yang panjang sehingga dua tahun, dan peruntukan mungkin melibatkan ratusan juta,” kata Ahmad Amzad pada April tahun lalu.

Sementara itu, kerajaan memberikan geran penyelidikan kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM) untuk merintis usaha pembangunan vaksin.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, geran hampir RM5 juta kepada kedua-dua universiti itu akan mengambil masa, namun berupaya menjamin kedudukan Malaysia jika Covid-19 bukan pandemik terakhir pada peringkat global.

Katanya bulan lalu, Malaysia perlu mempunyai kilang, modal dan kepakaran untuk membuat vaksin, supaya apabila pandemik seperti Covid-19 berulang, Malaysia tidak lagi bergantung kepada negara atau syarikat luar.