Malaysia Dateline

Anwar pertegas elak projek ‘off budget’ berulang macam kes 1MDB

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim hari ini menegaskan beliau tidak ingin melihat satu lagi skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berulang di negara ini ekoran perbelanjaan “off budget”.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, rakyat akhirnya terpaksa menanggung bil untuk projek-projek sedemikian seperti kes 1MDB dengan beban hutang sebanyak RM32.3 bilion.

“Kerajaan kata perbelanjaan berbilion-bilion ini tidak akan menyentuh dana kerajaan, ia akan balik kepada kerajaan.

“Jangan pandang ringan sebab selalunya PM akan sebut ini bukan dana kerajaan. Ini satu kekeliruan kerana tidak benar sama sekali.

“Saya sentuh off budget kerana ada anggapan off budget adalah dana tidak ada kena mengena dengan kerajaan.

“Saya nak sebut ini adalah kesilapan, contoh skandal terbesar dan terkenal dunia adalah 1MDB, pada masa itu off budget,” katanya semasa membahaskan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Sehubungan itu, Anwar menuntut kerajaan agar menjelaskan beberapa perbelanjaan “off budget” termasuk pelancaran 5G di seluruh negara, kemungkinan meneruskan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan usaha untuk menswastakan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.

Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan menegaskan projek off budget perlu dilaksanakan secara telus dan terbuka.

Beliau mendapati sumber dalaman kos operasi Digital Nasional Berhad (DNB), yang ditubuhkan untuk membina dan memiliki infrastruktur rangkaian 5G Malaysia, telah melebihi RM18.9 bilion walaupun kerajaan masih belum mendedahkan kos sebenar projek itu.

“Ada kata RM11 bilion (nilai projek), ada yang kata RM15 bilion. Mungkin cecah RM28 bilion untuk menambah baik rangkaian 4G yang ada.

“Oleh itu saya nak tekankan kita mempertanggungjawabkan kerajaan dan Menteri Kewangan khususnya apabila ada pelaksanaan program besar – umpamanya pelaksanaan yg diterajui Digital Nasional Berhad yang sangat kabur, tidak ada penjelasan teliti,” tambah Anwar lagi.