Malaysia Dateline

Anwar, pimpinan Penasihat AMANAH bincang pengukuhan gabungan PH

Dua tokoh pimpinan Penasihat AMANAH telah mengunjungi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabatnya semalam membincangkan pengukuhan gabungan Pakatan Harapan (PH).

Penasihat Umum AMANAH, Datuk Seri Ustaz Ahmad Awang dan Timbalannya, Datuk Ustaz Abdul Ghani Samsudin bersahabat dengan Anwar sejak bergiat dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

“Hari ini (23 Jun) dikunjungi Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Ghani Samsudin di pejabat. Kami bersahabat lama sejak zaman ABIM, dan sudah tentu banyak yang dibicarakan.

“Pengukuhan gabungan PH juga antara yang disentuh. Alhamdulillah,” kata Anwar dipetik dari Facebook beliau.

Anwar menerajui ABIM dari 1974 hingga 1984 dengan penyertaan ramai pimpinan AMANAH hari ini termasuk Presiden Mohamad Sabu dan bekas Setiausaha Agung, Anuar Tahir.

Sementara itu, Ustaz Ghani yang juga Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) pernah menjadi Timbalan Presiden ABIM pada awal 1980-an.

Beliau juga merupakan Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) pada 1999 hingga 2003 manakala Ustaz Ahmad Awang menerajui PUM kira-kira 17 tahun.

Anwar bersama Ustaz Ahmad Awang (kiri) dan Ustaz Ghani di pejabatnya semalam.

Langkah terbaik

Pertemuan pimpinan Penasihat AMANAH dengan Anwar itu berlangsung ketika Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan tidak akan bekerjasama dengan Ahli Parlimen Port Dickson itu dan PKR.

Susulan itu, Mahathir juga tidak lagi menganggotai PH Plus sebaliknya hanya akan berkerjasama dengan AMANAH dan DAP.

PH Plus sebelum ini merupakan gabungan PH yang diketuai Anwar dengan penyertaan sekutu lain iaitu Parti Warisan Sabah (Warisan) dengan sembilan kerusi Parlimen dan kumpulan dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kem Mahathir.

Pada 19 Jun lalu, PKR melalui mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bersama Ahli Parlimen PKR menolak cadangan Mahathir mencalonkan semula dirinya sebagai Perdana Menteri bagi mewakili kerajaan PH.

Susulan itu, AMANAH dan DAP mengesa PKR kembali kepada keputusan Mesyuarat Majlis Presiden pada 30 Mei lalu yang telah dipengerusikan oleh Anwar sendiri.

Mesyuarat ketika itu menerima pilihan kedua iaitu menamakan Mahathir sebagai PM dan Anwar sebagai Timbalan PM.

AMANAH dan DAP dengan masing-masing mempunyai 11 dan 42 kerusi Parlimen cenderung mengangkat sekali lagi Mahathir sebagai PM memandangkan Anwar gagal mendapat jumlah ahli Parlimen mencukupi untuk mengambil alih Putrajaya.

Dalam masa sama, kedua-dua parti itu tetap menyokong Anwar tetapi disebabkan Anwar gagal mendapatkan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS), langkah terbaik adalah membenarkan tempoh peralihan kuasa selama enam bulan.

GPS merupakan gabungan empat parti iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Keempat-empat parti yang membuat keputusan keluar Barisan Nasional (BN), sebulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu menyokong penuh Mahathir untuk terus menerajui kepimpinan negara.

AMANAH dan DAP menyokong Mahathir sebagai PM ekoran Anwar tidak mempunyai cukup kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, Anwar, 74, mendakwa Mahathir, 94, juga seperti tiada sokongan yang cukup untuk membentuk majoriti di Dewan Rakyat.

Beliau juga berkata PKR tidak boleh bersetuju untuk menjadikan Mahathir sebagai PM lantaran pengalaman berurusan dengan Pengerusi Bersatu yang dipertikaikan tersebut sebelum ini.

Kemelut peralihan kuasa timbul sejak pentadbiran kerajaan PH lagi dengan penyokong Anwar dan kem Mahathir dalam Bersatu saling berbalah.

Anwar dilihat menunggu untuk Mahathir menunaikan janjinya dengan berundur selepas dua tahun menjadi PM.

Dalam masa sama, bukan semua ahli Parlimen PKR menerima Anwar sebagai PM apabila 11 ahli Parlimen PKR keluar parti untuk membentuk blok bebas.

Akhirnya, PH yang asalnya memiliki 138 kerusi berkurangan kepada 101 kerusi sekali gus tumbang sebagai Kerajaan Pusat pada 24 Februari lalu akibat pertikaian berlanjutan mengenai tempoh peralihan kuasa.

Tindakan mengejut Mahathir meletak jawatan sebagai PM dan Pengerusi Bersatu biarpun dipujuk oleh Yang di-Pertuan Agong agar mengubah pendirian itu sekali gus menjadikan hayat PH menerajui kerajaan Persekutuan hanya bertahan 22 bulan.