Malaysia Dateline

Anwar punya cukup majoriti tanpa perlu bubar Parlimen

Merafak Kesyukuran ke hadrat Ilahi dan Menjunjung Kasih ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kerana telah memperkenankan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempersembahkan keterangan lengkap jumlah majoriti Ahli Parlimen yang menyokong beliau.

Kuantiti Ahli Parlimen yang akan dipersembahkan itu menurut Anwar bukan hanya sekadar majoriti yang mencukupi, tetapi mampu membaji sebuah kerajaan dengan agregat majoriti lebih gagah dan meyakinkan.

Tidaklah terumbang-ambing menyandarkan jawatan GLC sebagai pajakan untuk bertahan seperti kerajaan tujuh purnama sebelum ini.

Secara jujurnya, Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang benar-benar stabil. Jika tidak, kita akan tenggelam dalam arus polemik dan persengketaan politik yang tidak berkesudahan.

Kestabilan akan menjamin ekonomi yang lebih mapan. Lihat Bursa Saham KLCI hari ini menokok hampir 30 mata sejurus pengumuman Anwar diperkenan mengadap YDPA. Ini satu petanda ekonomi yang cemerlang bakal disajikan buat rakyat.

Dari suatu sudut lain, kerajaan yang diperintah oleh Muhyiddin terus dikritik dan dicemuh oleh warganet usai perutusan khas yang agak menjengkelkan. Ketika seorang bayi di Semporna dilaporkan meninggal dunia ekoran Covid-19, ‘Abah kau’ pula sibuk mahu merotan rakyat yang kononnya degil.

Kemarahan rakyat terus berganda setelah pelbagai ketidakadilan dan sikap dwi-standard berlaku antara menteri dan juga rakyat biasa. Menteri tidak ikut SOP dipandang ringan tetapi rakyat biasa disuakan rotan (hukuman) jika tidak patuh SOP.

Kemuncak kemarahan begitu menonjol apabila tanda pagar #MuhyiddinOUT menjadi sohorkini memenuhi pelbagai ruangan media sosial sejak beberapa hari lalu.

Dalam masa sama, kerajaan sedia ada dikatakan separa lumpuh ketika ini apabila jemaah menterinya termasuk Perdana Menteri terpaksa menjalani kuarantin berikutan mempunyai kontak rapat dalam satu mesyuarat bersama Menteri Agama yang didapati positif Covid-19.

Perkembangan ini mungkin memberi sedikit ruang dan jalan yang lebih baik kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mendapat Perdana Menteri yang baharu dengan barisan menteri yang ‘idle’ dan ideal.

Malaysia harus mara ke hadapan dalam menghadapi krisis Covid-19 yang merantai pergerakan ekonomi. Kerajaan yang serba ‘íncompetent’, kurang efektif, banyak bercakap, mempunyai krisis kepimpinan, gagal mengurus, rasuah jawatan dan diragui majoritinya harus memulangkan semula Mandat Rakyat kepada yang berhak.

Mandat rakyat itu harus dikembalikan kepada parti politik yang menang Pilihan Raya ke-14 lalu, iaitu parti yang berlogo mata yang membawa kemenangan Pakatan Harapan.

Bubar Parlimen? Apakah mereka sudah terlalu gila untuk mengusulkan pembubaran Parlimen?

Yakin dan percayalah, dengan majoriti yang cukup untuk menobatkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, tiada Parlimen akan dibubarkan sama sekali.

#DaulatTuanku
#ForwardMalaysia
#MuhyiddinOUT

 

*EDY NOOR REDUAN merupakan seorang aktivis blogger.