Anwar restu calon Amanah bertanding dua PRK, kata Salahudin

Anwar restu calon Amanah bertanding dua PRK, kata Salahudin

 

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditahan di Penjara Sungai Buluh ketika ini turut bersetuju Amanah mewakili Pakatan Harapan bagi bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Kuala kangsar dan juga Sungai Besar, kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, keputusan meletakkan Dr Ahmad Termizi Ramli yang merupakan anak tempatan dipersetujui semua parti dalam Pakatan Harapan bagi memastikan perjuangan untuk membela rakyat semua kaum dapat diteruskan.

Kemesraan Termizi diterima oleh pelbagai pihak. Termizi bersalam dengan orang ramai di Taman Kenas malam tadi. Gambar Malaysia Dateline oleh Wan Zahari Salleh.“Kita letakkan Dr Ahmad Termizi Ramli kita putuskan bersama dengan pimpinan Pakatan Harapan termasuk Datuk Seri Anwar di penjara Sungai Buluh anwar telah beri persetujuan bahawa Amanah mewakili Pakatan Harapan mewakili bertanding di kuala kangsar,” kata beliau dalam ceramah di Taman Kenas Jalan Sultan Iskandar Shah, Kuala Kangsar malam tadi.

Kenyataan Salahudin melengkapkan kedudukan bahawa Dr Termizi mendapat sokongan semua pihak kecuali Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Sebelum ini, Presiden Amanah, Mohamad Sabu memaklumkan, bekas perdana menteri paling lama,  Tun Dr Mahathir Mohamad bersama pemimpin NGO dan parti politik yang menyertai Delarasi Rakyat yang memilih Dr Termizi.

Pemimpin Deklarasi Rakyat termasuk Dr Mahathir dijangka akan turun ke Kuala Kangsar dan Sungai Besar hujung minggu ini.

Ketua pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail adalah pihak yang menyerahkan watikah pemilihan Dr Termizi sebagai calon yang disokong oleh Amanah, PKR dan DAP. Beliau turut berada di Kuala Kangsar malam tadi untuk berkempen.

AMANAH PERLU KAWAN

Dalam pada itu, Salahudin menegaskan, Amanah memerlukan kawan dalam parlimen untuk melawan Barisan Nasional (BN) kerana kemenangan sukar dicapai jika sesebuah parti bersendirian.

“Kita perlu kepada kawan dalam parlimen. Politik kalau seorang memang sukar. Kita mudah untuk dikalahkan. Bila kita bersama kita telah buktikan kita kuat dan boleh kalahkan kerajaan negeri dan inilah yang kita sedang lakukan untuk Pakatan Harapan mengambil alih kekutan kita yang diinggalkan Pakatan Rakyat,” katanya lagi.

Termizi bersalam mesra dengan penduduk Taman Kenas, Kuala Kangsar malam tadi. Beliau dijangka membuat kejutan dalam pilihan raya kecil ini. Gambar Malaysia Dateline oleh Wan Zahari Salleh.Beliau berkata kemenangan Amanah di Kuala  Kangsar akan membuktikan Amanah dan Pakatan Harapan akan menang dalam pilihan raya umum ke-14.

“Kenapa penting untuk menang? Ada orang kata kalau Pakatan Harapan menang pun tak lama. Mungkin enam bulan, mungkin setahun sahaja bertahan. Enam bulan, satu tahun tidak penting.

“Yang penting rakyat telah beri satu signal untuk Pakatan Harapan menang dalam pru 14. Jangan izinkan parti yang tidak mahu membela rakyat menang,” tegasnya.

KEJUTAN

Sementara itu Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Bahrin Shah yang turut berkempen untuk Ahmad Termizi memberitahu, kemungkinan rakyat Kuala Kangsar akan membuat kejutan pada 18 Jun ini dengan memberi undi kepada Amanah.

Ini kerana katanya, fasa awal kempen, ramai pengundi yang tidak berani menzahirkan sokongan kepada Amanah dan Pakatan Harapan kerana takut bantuan daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) akan dihentikan.

Namun katanya ada pengundi yang secara sembunyi-sembunyi menyatakan bahawa mereka akan mengundi Amanah.

“Saya pergi kempen ke kampung-kampung, turun ceramah, ada pengundi yang datang berbisik kepada saya bahawa mereka menyokong Amanah tapi takut untuk tunjuk terang-terangan, takut orang BN nampak.

“Saya yakin mereka akan memberi undi kepada Amanah pada 18 Jun ini dan kita akan terus mendekati golongan atas pagar ini,” katanya yang juga ahli Parlimen Kuala Terengganu ketika ditemui di pejabat Amanah Kuala Kangsar semalam.

 

COMMENTS

Wordpress (0)