Malaysia Dateline

Anwar risau sentimen perkauman yang panas di TikTok

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan rasa bimbang terhadap sentimen perkauman yang sedang dimainkan ketika ini di laman sosial TikTok.

Beliau melihat adanya sentimen dan retorik perkauman yang terus diapikan oleh segelintir pihak yang terdesak dan berkepentingan terutamanya di saat penting seperti sekarang.

Beliau menegaskan bahawa usaha dan ikhtiar dalam menubuhkan kerajaan yang bertanggungjawab dan stabil tidak seharusnya berakhir dengan kekacauan.

“(Ini) kerana kaum Melayu, Cina, India, Orang Asli, suku kaum Sabah dan Sarawak adalah bersaudara sebagai manusia dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan.

“Saya amat mengalu-alukan kenyataan tegas Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani dalam menghentikan perkembangan yang mampu menggugat kemajmukan Malaysia ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Sejak Ahad, beberapa kandungan di platform media sosial, khususnya TikTok, dikesan memaparkan video yang berunsur perkauman, dengan beberapa akaun mencatat ratusan ribu tontonan, menggunakan tragedi 13 Mei sebagai content.

Susulan itu, Acryl Sani menggesa orang ramai agar tidak memuat naik kemas kini yang boleh menimbulkan situasi yang mengancam keselamatan di media sosial.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesan beberapa kandungan sensitif dan menyentuh sentimen perkauman dimuat naik di beberapa platform media sosial, susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), pada Ahad.

“PDRM memberi peringatan dan penegasan kepada pengguna media sosial agar mengekang daripada menyalahgunakan platform tersebut untuk menyebar kandungan bersifat provokasi yang boleh menyebabkan kegusaran awam,” tegasnya

Tindakan tegas di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan serta Kanun Keseksaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan situasi mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

Baca juga: Anwar PM ke-10: Mengapa tidak cuba untuk lima tahun akan datang?

Baca juga: Sentuh sentimen perkauman dan agama, Ketua Polis Negara bagi amaran hentikan provokasi di sosial media