Malaysia Dateline

Anwar sahkan Aminuddin kekal Pengerusi MPN Negeri Sembilan

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun kekal sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN).

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, semua ketua cabang pada mesyuarat MPN Negeri Sembilan hari ini bersetuju untuk mengekalkan Aminuddin sebagai Pengerusi MPN negeri.

“Ia dibuat atas semangat perjuangan parti dan memperkukuhkan jentera untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

“Alhamdulillah, kedudukan Aminuddin sebagai Menteri Besar tidak dibangkitkan.

“Malah mendapat sokongan padu daripada semua pihak, cuma terdapat beberapa isu dibangkitkan iaitu keperluan parti dan cabang untuk memperkukuhkan jentera bagi menghadapi PRU-15 di Negeri Sembilan,” katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN Negeri Sembilan di kediaman rasmi Menteri Besar hari ini.

Turut hadir, Aminuddin dan Timbalannya, Datuk M Ravi serta semua kepemimpinan utama PKR Negeri Sembilan.

Dalam masa sama, Anwar memberitahu pihaknya sudah mendengar setiap masalah dibangkitkan terutama berkaitan usaha memperkukuhkan jentera parti bagi persediaan menghadapi PRU-15.

“Pandangan semua itu akan diambil kira dan kita sudah bercakap dengan semua bagi mencari jalan penyelesaian. Kini, fokus lebih kepada kuatkan jentera parti dan cabang,” katanya.

Untuk rekod, Ketua Penerangan PKR negeri, Yusof Tapar pada 5 September lalu mendakwa empat ADUN PKR sudah menandatangani akuan bersumpah (SD) yang memberikan sokongan terhadap usaha menggantikan Aminuddin.

Dakwanya, Aminuddin gagal melakukan sebarang penyusunan dan koordinasi yang berkesan untuk menarik sokongan pengundi terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang perlu diberi tumpuan dan keutamaan.

Sehubungan itu, Anwar berkata, Aminuddin juga sebagai Menteri Besar perlu memberi perhatian kepada pembangunan negeri selain pada masa sama memberi tumpuan kepada parti.

“Semua kepemimpinan parti di negeri ini perlu membantu memudahkan kerja beliau (Aminuddin),” tambah Anwar lagi.