Malaysia Dateline

Anwar Ibrahim 2

Anwar sedia beri keterangan bantu polis siasat dakwaan Yusof Rawther

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaannya untuk tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan polis dalam kes fitnah terhadap beliau oleh bekas penolong penyelidiknya, Muhammed Yusof Rawther.

Presiden PKR itu turut mengucapkan terima kasih kepada pihak polis kerana menyegerakan siasatan isu yang dianggap fitnah itu.

“Merujuk kepada dakwaan fitnah terbaharu terhadap saya, saya berterima kasih kepada pihak polis kerana telah menyegerakan siasatan mereka.

“Ingin saya tegaskan bahawa saya bersedia memberi keterangan kepada pihak polis dalam kadar segera untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan seperti dilaporkan Malaysiagazette hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan lebih lanjut berkenaan hari dan masa untuk tampil memberi keterangan kepada polis.

Kenyataan itu menyusul selepas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Komisioner Datuk Huzir Mohamed memberitahu, Unit Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) JSJ akan memanggil Anwar dan beberapa saksi lain untuk mengambil keterangan dalam kes tersebut.

Yusoff Rawther baru-baru ini mendedahkan menerusi Akuan Bersumpah (SD) beliau telah dicabul oleh Anwar pada awal Oktober tahun lalu sebelum membuat laporan polis serta menyerahkan SD kepada polis di IPD Sentul pada Sabtu 7 Disember untuk tindakan lanjut.

Pada Isnin 9 Disember lalu, Yusoff tampil bersama peguamnya Datuk Mohammed Haniff Kathri Abdulla ke Bukit Aman sebelum diambil keterangan selama lapan jam berkaitan isu tersebut.

Semalam Yusoff tampil sekali lagi di sebelah petang tetapi ditemani seorang wanita dipercayai ahli keluarganya ke Bukit Aman sebelum dirakam keterangan selama tiga jam dan meninggalkan premis Ibu Pejabat Polis Malaysia itu mengikut pintu belakang.

Seminggu lalu, pihak Anwar telah membuat laporan polis menafikan status SD Yusoff Rawther serta fitnah tidak berasas yang dilemparkan ke atas beliau untuk tindakan lanjut polis