Anwar sedia menanti selepas 20 tahun menunggu

Oleh ARIF ATAN

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu beliau sedia menanti enam bulan lagi sebelum mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam temu bual dengan Reuters berkata, sebelum ini pun beliau menunggu selama 20 tahun.

Anwar yakin beroleh sokongan mencukupi di Parlimen bagi tujuan peralihan kuasa itu nanti.

Jelas suami kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkenaan, hal tersebut boleh dilakukan kerana PH memiliki majoriti di Dewan Rakyat jika ada permintaan untuk berbuat demikian di Parlimen.

“Mereka yang bukan dalam PH pun, sesetengah mereka akan menyokong perdana menteri semasa.

“Saya juga sudah diberikan jaminan itu. Mereka memberikan sokongan kepada Mahathir sebagai perdana menteri, dan mereka akan terus menyokong saya apabila saya mengambil alih nanti,” tambah Anwar lagi.

Akhir tahun lalu, Dr Mahathir mengulangi janjinya akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang akan dianjurkan Malaysia pada November nanti.