Anwar selesa di Port Dickson, kata pengkaji Ilham Center

Anwar selesa di Port Dickson, kata pengkaji Ilham Center

Calon nombor 1 PRK Port Dickson,  Datuk Seri Anwar Ibrahim selesa dengan kelebihan undi bukan Melayu dan kedudukan ini gagal dicabar oleh calon-calon lain, demikian menurut Ilham Centre.

Katanya, bagi pihak luar, jumlah peratusan keluar mengundi dan majoriti yang diperolehi oleh Anwar menjadi pertaruhan dan perbincangan sepanjang kempen ini.

Namun, katanya, pengundi tempatan pula kekal ‘tenang’ dan mereka sudah mempunyai keputusan untuk diterjemahkan dalam pilihanraya kecil kali ini.

Kempen yang berakhir pada jam 12 tengah malam ini akan menyaksikan usaha terakhir semua calon-calon yang bertanding untuk memastikan jumlah keluar mengundi melepasi aras peratus yang rendah dalam siri pilihanraya kecil sebelum ini.

Dalam kenyataan Pengarah Eksekutifnya Azlan Zainal berkata cara mudahnya, kemenangan seolah-olah menjadi milik Anwar Ibrahim namun kedudukan pengundi Melayu menjadi kayu ukur utama kejayaan beliau di Port Dickson kali ini.

Ternyata Pakatan Harapan yang kini menerajui kerajaan katanya,  berjaya meletakkan satu aras baharu dalam kempen mereka dan dalam masa yang sama koalisi pembangkang ternyata gagal dan masih belum berjaya bangkit daripada kekalahan PRU14 yang lalu.

“Ketiadaan UMNO yang mencabar kehadiran Anwar di sini menyebabkan calon-calon yang lain tidak dapat memberi saingan yang sengit kepada calon Pakatan Harapan,” katanya.

Daripada kajian itu, katanya di saat-saat akhir pembuangan undi, Anwar kekal menjadi calon tunggal yang paling terkehadapan dalam siri kempen yang dilakukan.

Ini kerana katanya, gerak kerja kempen yang lebih tersusun, jentera yang berpusat di setiap pusat pengundian dan variasi bahan-bahan kempen yang boleh dilihat sekitar Port Dickson.

“Sebagai calon yang diwar-warkan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-8, memberi kelebihan buat Anwar untuk menonjolkan diri dalam siri kempennya,”katanya.

Tegasnya berdasarkan dapatan kajian 64 peratus pengundi menerima Anwar Ibrahim yang memilih Port Dickson sebagai tapak beliau untuk menggalas jawatan Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Persoalan yang timbul di kalangan pengundi ialah sejauh mana keinginan Anwar untuk kekal di Port Dickson dalam pilihanraya umum ke-15 akan datang sekiranya menang kerana beliau tidak mempunyai nilai sentimental dan legasi di kawasan ini,”ujarnya.

Beliau tidak menolak pergerakan kempen Pakatan Harapan adalah lebih tersusun apabila parti-parti komponen yang lain telah membuktikan setiakawan yang kuat dengan menubuhkan bilik operasi berasingan di setiap DUN dalam Parlimen ini.

Setelah menjadi Kerajaan kempen Pakatan Harapan dilihat lebih berdaya berbanding kempen mereka di zaman pembangkang, katanya.

Dengan kehadiran Tun Mahathir Mohamad yang turun berkempen pada Selasa lalu katanya,  berjaya memadamkan berita-berita yang menyasarkan hubungan renggang Mahathir-Anwar.

“Dalam tinjauan kami, kehadiran Tun memberikan moral yang tinggi kepada jentera Pakatan Harapan  dan memberikan sedikit lonjakan pada segmen pengundi Melayu untuk menerima Anwar Ibrahim sebagai calon yang perlu dipilih dalam pilihanraya kecil kali ini.

Kajian ini  dilakukan secara secara tatap muka bermula 8 Oktober sehingga 11 Oktober 2018,  pihaknya telah menemui 817 responden di P132 Port Dickson meliputi semua segmentasi kaum, jantina dan umur pengundi serta lokaliti. Dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata, ralat kajian yang ditemui ialah 2.03 peratus.

 

 

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote