Malaysia Dateline

Anwar selesai angkat sumpah PM ke-10 selepas 24 tahun gema Reformasi

Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi selesai mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 selepas 24 tahun gema laungan Reformasi.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkenaan mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Pelantikan Presiden PKR tersebut diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, pagi tadi.

Terdahulu, laungan ‘Reformasi’ bergema daripada kira-kira 200 penyokong PH di luar pintu 2, Istana Negara.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Anwar, 75, menang besar di kerusi Parlimen Tambun dengan memperoleh majoriti 3,736.

Mendahului tiga parti lain, Anwar dengan 49,625 undi sekali gus memintas penyandang kerusi itu sebelum ini, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (PN) dengan 45,889 undi.

Suami kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu juga berjaya menewaskan Datuk Aminuddin Md Hanafiah (BN) dengan 28,140 undi dan Abdul Rahim Tahir (Pejuang) 1,115 undi.

Anwar menerajui apa yang dipanggil “kerajaan perpaduan” dengan berdepan cabaran getir dalam situasi ekonomi dunia sangat mencabar menjelang tahun hadapan.

Selain perlu bekerja keras mengembalikan kestabilan politik selepas bergolak sejak awal 2020 bersama permulaan pandemik Covid-19, Anwar dan barisan bakal Kabinetnya juga bakal diuji dalam merapatkan kembali jurang antara wilayah dan kaum pasca PRU15.

Baca juga ‘Menyatu padukan teman-teman senegara, meneliti masalah ekonomi yang membelenggu’

Baca juga Dipukul sebab tak dapatkan wang untuk beli rokok, anak bunuh bapa tanpa sengaja