Malaysia Dateline

Anwar serah pimpinan PH tetapkan tarikh peralihan jawatan PM

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sepenuhnya kepada pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk menetapkan tarikh peralihan jawatan Perdana Menteri antara beliau dan Dr Mahathir.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau tidak mahu isu peralihan jawatan Perdana Menteri terus hangat diperkatakan.

Menurutnya, masih banyak perkara penting yang perlu diberi tumpuan khususnya melibatkan kepentingan rakyat berbanding isu tersebut.

“Sebagaimana yang dipersetujui, perkara ini (peralihan jawatan) pertamanya harus dibincangkan bersama saya dan juga Dr Mahathir.

“Kalau ada perbincangan sekalipun ia sebaiknya diadakan dalam forum Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH),” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Emas Kepada Murid-murid Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Selangor di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang hari ini.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang mencadangkan supaya Mesyuarat Majlis Presiden PH membuat ketetapan bahawa Mei ini sebagai tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri bagi menjamin kelangsungan agenda parti.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau percaya kebimbangan yang disuarakan itu mungkin disebabkan wujud cubaan untuk menggugat keputusan yang telah ditetapkan sebelum ini.

“Kebimbangan yang disuarakan (oleh Ketua AMK) itu kerana ada dianggap ada percubaan luar untuk menggugat (perjanjian) ini.

“Tetapi saya tidak fikir ia harus mengalihkan pandangan kita terhadap isu pokok dalam negara kita sekarang ini,” katanya lagi.