Malaysia Dateline

Anwar seru rakyat undi PH tanda protes kerajaan hadiahkan RM100 juta pada Najib

Rakyat Melaka diseru untuk keluar mengundi Sabtu ini dan memberi undi kepada Pakatan Harapan sebagai tanda protes terhadap kerajaan yang menghadiahkan rumah dan hartanah bernilai RM100 juta kepada Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PH akan terus melawan keputusan tersebut di Parlimen nanti biarpun gabungan itu menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama kerajaan.

“Kita akan bantah dan akan lawan habis-habisan kerana rakyat sedang susah, tapi (ada) orang yang kaya, banyak duit, tunai banyak, berlian banyak, dihukum di mahkamah, masih diberi RM100 juta.

“Ini negeri apa? Kita lawan. Kita minta tuan-tuan bagi sokongan pada calon kita sebagai protes kepada tindakan kerajaan nak bagi RM100 juta kepada Najib.

“Rakyat nak dapat RM100 pun susah. Ini negeri apa. Ini bapa dia punya negerikah?

“Ada MoU atau tidak, kita akan tolak. Saya nak tengok Umno, Bersatu, Pas, GPS, siapa yang akan bangun sokong RM100 juta kepada Najib,” tegasnya.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan Kabinet menerima permohonan daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta.

Bercakap semasa sesi penggulungan di Dewan Rakyat pada Khamis, Tengku Zafrul bagaimanapun berkata, maklumat berkaitan rumah dan hartanah bernilai RM100 juta tersebut tidak dimasukkan ke dalam Belanjawan 2022 kerana permohonannya dibuat selepas pembentangan.

Permohonan Najib akan dibawa sebagai Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan di Parlimen nanti.

Ahli-ahli Parlimen akan membuat undi untuk menyokong atau menolak RUU tersebut.