Malaysia Dateline

Anwar tanding di kerusi pengkhianat tindakan berani, ini baru pahlawan namanya!

Presiden PKR merangkap Pengerusi PH, Anwar Ibrahim semalam mengumumkan pendiriannya untuk bertanding di kerusi pengkhianat pada PRU15 akan datang.

Ini sekaligus menunjukkan beliau sendiri berjiwa besar membuktikan kata-katanya minggu lalu bahawa PKR mungkin meletakkan pemimpin utama sebagai calon di kerusi-kerusi pengkhianat itu.

Kerusi pengkhianat adalah merujuk kepada kerusi-kerusi yang dimenangi PKR pada PRU14, tetapi Ahli-Ahli Parlimennya bersikap khianat dengan meninggalkan parti itu bagi menjayakan Langkah Sheraton untuk menjatuhkan kerajaan PH yang dipilih melalui mandat rakyat.

“Saya harus pilih kawasan pengkhianat. Mesejnya bahawa pengkhianatan dalam politik tidak boleh diterima,” tegas beliau berhubung keputusannya itu.

Meskipun ada beberapa kerusi pengkhianat yang boleh untuk Anwar tandingi bagi misi merampas balik dan “membunuh” kerjaya sang pengkhianat yang durjana itu, berdasarkan situasi kewajaran dan kesesuaian, ada tiga tempat yang sesuai sebagai pilihannya.

Ia adalah Gombak yang kini dipegang Azmin Ali, Ampang (Zuraida Kamaruddin) dan Bandar Tun Razak (Kamaruddin Jaafar).

Begitu pun, jika Anwar memilih bertanding di Bandar Tun Razak misalnya, maka Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli atau Menteri Besar Selangor yang kini Naib Presiden PKR, Amirudin Shari harus diletakkan di Gombak dan seorang lagi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar paling sesuai menjadi calon di Ampang.

Apa macam?

Secara umumnya, keputusan Anwar memilih kerusi pengkhianat untuk beliau tandingi adalah suatu tindakan yang tepat dan amat terpuji.

Inilah suatu tanda keberanian Anwar sebagai pemimpin yang jarang ada pada pemimpin-pemimpin lain.
Dan ini juga baru pahlawan namanya!

Mahu tidak mahu, dalam PRU15 akan datang, kesan daripada kecelaruan kepada negara akibat pengkhianatan Langkah Sheraton, PKR dan PH harus meletakkan dua keutamaan sebagai sasarannya.

Pertama, memenangi PRU15 dan kembali menjadi kerajaan dengan matlamat membela rakyat serta memperbaiki banyak kerosakan dalam negara dan kedua, untuk membersihkan politik negara ini daripada parasit dan pemimpin toksid yang khianat.

Jika karier pengkhianat yang telah menyebabkan politik negara tidak stabil, menyebabkan kerajaan berrukar beberapa kali dan akhirnya meletakkan parti yang menang jadi pembangkang, manakala parti yang kalah jadi kerajaan tidak segera dikuburkan, sampai bila-bila pun kestabilan tidak akan wujud dalam negara ini.

Dalam hal ini, bukan saja Anwar, malah sebenarnya semua kerusi pengkhianat juga harus diletakkan pimpinan utama PKR sebagai calonnya.

Kerusi pengkhianat lain ialah Indera Mahkota, Nibong Tebal, Batu Pahat, Segamat, Saratok, Puncak Borneo, Ranau, Julau dan Tebrau.

Pimpinan utama PKR yang lain seharusnya tiada halangan untuk bersama-sama dengan Anwar dalam matlamat suci itu dengan turut bersedia berlawan dengan .pengkhianat yang secara umumnya rakyat memang sedia membenci mereka sekarang ini.

Dalam erti kata lain, semua watak-watak pengkhianat itu mesti “dibunuh” kerjaya mereka dan seterusnya diletakkan di gobok persaraan selepas ini.

Biar kali ini mereka rasa pembalasan dibersarakan akibat pengkhianatan yang dahulu mereka begitu bangga melakukannya.

Baca juga: Kerusi ‘pengkhianat’ yang mana jadi pilihan Anwar, Gombak atau Ampang?

baca juga: Kes wanita pakai ihram di Makkah sudah selesai hampir sebulan, JAIPk beri kaunseling