Malaysia Dateline

Anwar tawar PN sertai Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau

Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan kepada semua parti politik termasuk Perikatan Nasional untuk menyertai Kerajaan Perpaduan yang beliau ketuai.

Tawaran ini diberikan selepas beliau mendapat sokongan penuh dari Barisan Nasional, GPS dan beberapa Ahli Parlimen Bebas yang menjadikan beliau mengetuai kerajaan yang kuat.

Anwar berkata demikian dalam sidang media yang disertai oleh wakil media dan orang ramai yang memenuhi satu dewan di Sungai Long, berhampiran dengan kediaman peribadi beliau.

Bagi membuktikan kekuatan kerajaannya, Anwar mengumumkan akan mengadakan sidang Parlimen 19 Disember ini.

“Agenda pertama dalam sidang ini selain mengangkat sumpah adalah undi kepercayaan kepada perdana menteri yang akan dibawa oleh wakil kerajaan,” kata Anwar.

Anwar juga mengumumkan beliau tidak akan menerima gaji perdana menteri.

Beliau juga menegaskan keutamaan kerajaan beliau adalah pemulihan ekonomi dan tidak akan kompromi dengan rasuah.