Malaysia Dateline

Anwar terima memorandum anak muda bantah Pindaan Akta 342

Anwar menerima memorandum bantahan pindaan Akta 342.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi ini menerima memorandum dari gerakan anak-anak muda dan aktivis rakyat yang membantah pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Beliau turut disertai beberapa Ahli Parlimen lain termasuk bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.

“Mereka (aktivis) hadir bagi menyatakan pendirian tegas serta bantahan keras terhadap rencana kerajaan berhubung langkah melawan wabak menerusi pindaan pada Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

“Kami Ahli-ahli Parlimen dari PH (Pakatan Harapan) tidak boleh menyokong pindaan ini tatkala rakyat mahu dibuli dan ditekan oleh pemerintah,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi.

Cadangan terhadap pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 342 mengundang bantahan banyak pihak kerana dianggap keterlaluan dan sangat tidak munasabah.

Ini termasuklah denda maksimum RM10,000 atau penjara untuk tempoh maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya bagi individu melanggar prosedur operasi standard (SOP) seperti gagal memakai pelitup muka serta penjarakan fizikal.

Pada 14 Disember lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan RUU Pindaan Akta 342 membabitkan cadangan lima peruntukan baharu dan lima pindaan bagi memastikan kesinambungan penguatkuasaan peruntukan mengikut Ordinan Darurat sebelum ini.

Rakyat biasa dibimbangi akan ditindas dengan kompaun tidak masuk akal sebaliknya orang kenamaan didenda sangat ringan.