Malaysia Dateline

Anwar tiada halangan untuk skandal forex disiasat

Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan saranan supaya skandal tukaran wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an disiasat kembali.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang juga bekas Menteri Kewangan (1991-1998) itu berkata, beliau tidak melakukan sebarang kesalahan berkaitan skandal yang menyebabkan negara kerugian lebih RM30 bilion itu.

Pendirian Anwar itu sebagai reaksi terhadap saranan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar Jabatan Peguam Negara membuka semula fail siasatan mengenai skandal tersebut.

“Sekiranya kita ingin menyiasat skandal forex, saya setuju, tidak ada halangan untuk itu.

“Apa penting ialah saya tidak mencuri satu sen pun, saya tidak mencuri RM1 bilion, saya tidak mengambil balak dan saham.

“Oleh itu, jika (pihak berkuasa) ingin menyiasat forex atau 1MDB, teruskan,” kata Anwar dalam tazkirah secara langsung di Facebooknya malam tadi.

Presiden PKR itu menjelaskan hutang negara hanya pada tahap RM89 bilion pada 1997 berbanding RM90 bilion tahun sebelumnya.

Beliau turut membandingkannya dengan hutang negara pada tahun 2011 yang berjumlah RM456 bilion.

Untuk rekod, Suruhanjaya Siasatan Bagi Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Bank Negara Malaysia (BNM) Sekitar 1990-an, mempersembahkan laporan siasatan kepada Yang di-Pertuan Agong setebal 400 muka surat pada 13 Oktober 2017.

Suruhanjaya itu ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan bahawa BNM kerugian lebih AS$10 bilion pada awal 1990-an dalam perdagangan mata wang asing.

Anwar dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad antara saksi penting yang dipanggil memberi keterangan sepanjang prosiding.

Turut dipanggil bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan bekas Penasihat Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.