Anwar tidak akan tuntut jawatan dalam kerajaan, kata PM

Anwar tidak akan tuntut jawatan dalam kerajaan, kata PM

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata PKR telah menjelaskan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan meminta sebarang jawatan dalam kerajaan jika menang dalam PRK Port Dickson nanti.

“Sebenarnya (Setiausaha Agung PKR) Datuk Saifuddin Nasution telah mengeluarkan kenyataan bahawa apabila Anwar menang, bukan jika dia menang tetapi apabila dia menang, dia tidak akan meminta jawatan dalam kerajaan.

“Dia tidak meminta jawatan menteri dalam kerajaan. Saya anggap Saifuddin berkata demikian dengan keizinan Anwar,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, semalam.

Beliau menjawab soalan pemberita sama ada Anwar akan dilantik untuk satu jawatan kerajaan jika menang dalam PRK itu.

Timbul spekulasi bahawa bakal presiden PKR itu akan menuntut jawatan jika berjaya kembali ke Parlimen, memandangkan beliau adalah pengganti Mahathir untuk jawatan perdana menteri.

Mahathir juga sekali lagi menegaskan bahawa Anwar akan menggantikannya.

“Kita sudah bersetuju bahawa Anwar…Saya tidak akan mungkir janji…Bila? Tempohnya belum pasti.

“Tetapi saya sangat sedar usia saya 93 tahun. Dua tahun lagi saya 95 tahun,” katanya dipetik Malaysiakini.

 

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote