Malaysia Dateline

Anwar tidak kemuka senarai MP, ketua parti akan sahkan sokongan

Istana Negara memaklumkan bahawa Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengemukakan senarai nama Ahli-Ahli Dewan Rakyat, semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara berkata, sebaliknya Anwar hanya mengemukakan jumlah Ahli Dewan yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.

Dalam kenyataan medianya, Istana Negara berkata, dalam sessi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit itu, Datuk Seri Anwar telah mengemukakan jumlah Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.

“Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Datuk Seri Anwar untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

Dalam sidang medianya hari ini, Anwar berkata, Yang Dipertuan Agong akan memanggil ketua-ketua parti untuk menghadap baginda bagi mengesahkan dakwaannya.

Selepas Anwar, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah telah menghadap baginda tengahari tadi manakala esok baginda dijadualkan menerima menghadap Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng.

Selepas itu, baginda akan bertemu dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden MIC Vigneswaran dan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid. Baginda juga dijadualkan bertemu dengan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan juga Presiden MCA, Wee Ka Siong.

Hari ini, Anwar melalui sidang medianya memberitahu bahawa jumlah sokongan yang diperolehinya selesai dipersembahkan kepada Agong.

Beliau juga mendakwa sokongan yang diperoleh adalah kukuh dan meyakinkan dengan lebih 120 sokongan ahli Parlimen.

Bagaimanapun Anwar menasihati agar semua pihak dapat memberi ruang kepada Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan.