Malaysia Dateline

Anwar tolak elaun Ketua Pembangkang, RM24,653.00 akan salur ke tabung rakyat miskin

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak tawaran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri memberi kemudahan penuh seperti seorang menteri termasuk elaun dan bayaran khas sebanyak RM24,653.00.

Butira-butiran itu adalah RM 12,320.00 sebulan untuk elaun keraian, RM 1,500.00 sebulan untuk bayaran khas, RM4,000.00 sebulan untuk elaun rumah, RM 833.00 sebulan untuk elaun selenggara rumah, RM3,000.00 sebulan untuk elaun pakaian panas, RM1500.00 sebulan untuk elaun pakaian upacara rasmi dan RM 1500.00 sebulan untuk elaun bayaran pakaian ‘black tie’.

Dan Anwar juga turut ditawarkan sebuah kereta rasmi dan sebuah kenderaan peribadi daripada Ismail.

“Saya ucap terima kasih atas kesediaan serta pengiktirafan dari Perdana Menteri Ismail Sabri Yakob dan kerajaan kerana bersetuju menambahbaik taraf Parlimen dan fungsi Ketua Pembangkang seperti yang selayaknya dalam mana-mana negara demokratik di dunia,” katanya dalam kenyataan.

Katanya dalam surat tawaran itu, Perdana Menteri juga bersetuju memberi kemudahan untuk sebuah pejabat bagi Ketua Pembangkang dan beberapa kemudahan lain, ini termasuk staf bagi membantu urusan kerja dan pejabat.

Anwar juga tidak dapat menerima beberapa kemudahan lain yang setaraf menteri bagaimanapun beliau akan menyalurkan dana tersebut untuk tabung rakyat miskin.

“Saya juga telah tegaskan pada pihak Parlimen yang menyediakan pejabat saya untuk tidak membuat sebarang pengubahsuaian dan diberi peruntukan tambahan.

“Ingin ditegaskan bahawa pengiktirafan kepada Pejabat Ketua Pembangkang ini tidak bermaksud kita akan mendukung apa sahaja dasar kerajaan tanpa soal.

“Seperti yang dinyatakan Perdana Menteri dalam surat kepada saya itu, keputusan ini tidak menjejaskan peranan Ketua Pembangkang. Saya akan tetap menjalankan tugas seperti sediakala,” tegas Anwar.

Justeru katanya, aspek semak imbang akan terus diperhebat bagi memastikan negara ini terus di landasan demokrasi.