Anwar tolak spekulasi Mahathir ‘guna’ Azmin sekat pengaruhnya

Anwar tolak spekulasi Mahathir ‘guna’ Azmin sekat pengaruhnya

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak spekulasi bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sedang ‘menggunakan’ Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menyekat pengaruh beliau (Anwar) dalam kerajaan dan parti.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata segala tindak tanduk Dr Mahathir tidak seharusnya diterjemah dalam konteks politik.

“Beliau (Dr Mahathir) punya hujahnya sendiri. Beliau memikirkan kepentingan negara dan institusi. Ketika saya berada dalam jawatan sudah tentu saya perlu tentukan keutamaan saya dan cara saya,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis tahlil bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei malam tadi lapor Bernama.

Menurut Anwar, Dr Mahathir seharusnya diberi kebebasan untuk mentadbir negara.

Anwar bagaimanapun mengakui, sukar untuk menghalang mana-mana pihak daripada memberikan pelbagai interpretasi berhubung sesuatu perkara.

“Dari segi menyekat peranan saya, pengaruh saya, secara jujur, saya tidak risau. Saya tahu kekuatan parti saya dan hubungan saya dengan rakan-rakan gabungan (PH),” katanya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua dari Kanan) ketika menziarahi isteri dan anak-anak kepada Allahyarham Mat Shuhaimi di rumahnya malam tadi.

Pada Isnin Mohamed Azmin yang merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi menolak dakwaan bahawa Dr Mahathir sedang menggunakan beliau untuk ‘mengawal’ Anwar.

Dalam temu ramah bersama sebuah portal berita, Timbalan Presiden PKR itu menegaskan bahawa kesetiaannya pada ketua umum parti itu tidak sepatutnya dipersoalkan.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai khabar angin berhubung pertandingan jawatan presiden dalam pemilihan PKR pada Ogos ini, Anwar berkata ia masih belum disahkan secara rasmi setakat ini.

“Desas-desus itu banyak, kita boleh dengar tetapi tidak boleh layan desas-desus sehingga sah. Mohamed Azmin ada jumpa saya di Istanbul dan berbincang secara umum beberapa perkara tetapi tidak pula berbangkit soal ini.

“Belum sah ada pertandingan atau tidak, kalau pun ada pertandingan kita harus hormati prinsip dan etika. Saya percaya Jawatankuasa Pemilihan PKR akan memastikan perkara ini dipatuhi,” katanya.

7.0
OVERALL SCORE
: 7.0
Have no any user vote