Anwar tunjuk bukti Pas bayar RM1.4 juta kepada Sarawak Report

Anwar tunjuk bukti Pas bayar RM1.4 juta kepada Sarawak Report
Anwar membacakan dokumen bukti yang menunjukkan Pas membayar RM1.4 juta kepada Sarawak Report sebagai penyelesaian di luar mahkamah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini menunjukkan bukti dokumen bahawa Pas telah membayar RM1.4 juta kepada Editor Sarawak Report setelah saman itu ditarik balik.

Dalam ceramahnya di Bukit Mahkota dalam kawasan pilihan raya kecil Semenyih, Anwar menunjukkan bukti berupa slip pembayaran itu.

“Ini dokumen yang mencatatkan bayaran RM1, 422, 980 yang Pas bayar kepada Claire Recastle, Editor Sarawak Report,” kata Anwar sambil menunjukkan slip pembayaran itu kepada orang ramai.

Bayaran itu, kata Anwar, merupakan bayaran penyelesaian di luar mahkamah selepas Pas menarik balik saman terhadap Sarawak Report itu.

“Nama saya Anwar Ibrahim, kalau tak ada fakta saya tak lawan. Ini saya ada fakta memang ada bukti.

“PAS, khususnya ustaz (Abdul) Hadi (Awang) terpaksa bayar RM1.4 juta kepada Claire.

“Kalau PAS nak cabar, anytime, saya ada buktinya,” katanya pada ceramah di Bukit Mahkota, salah satu kawasan dalam pilihan raya kecil Semenyih malam ini.

Sebelum ini, Pas melalui setiausaha agungnya mendakwa, tidak ada sebarang bayaran dibuat ekoran penarikan balik saman itu.

“Mana ada orang buat macam itu. Dulu saya tarik balik saman terhadap Utusan selepas Utusan minta maaf dan membayar sejumlah wang yang tidak perlu dinyatakan,” kata Anwar.