Malaysia Dateline

Anwar tuntut pembangkang wajar diberi layanan setimpal

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa barisan pembangkang wajar diberi layanan setimpal dan akan memainkan peranan sewajarnya dalam menyemak dan mengimbangi pihak eksekutif.

“Kami akan sentiasa lantang memperjuangkan keadilan untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Dalam isu usul undi percaya terhadap Perdana Menteri beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata, Pakatan Harapan melihat bahawa masih wujud keperluan ianya diadakan secepat mungkin pada sidang Parlimen yang akan berlangsung Isnin ini.

Ini berdasarkan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada ketua-ketua parti politik sewaktu sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos lalu, bagi mengabsahkan bahawa Perdana Menteri telah mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri akan melaksanakan sejumlah penambahbaikan bagi Parlimen dan pentadbiran kerajaan.

Menurut Anwar, ia satu permulaan yang baik susulan daripada pertemuan beliau dan pimpinan Pakatan Harapan bersama Perdana Menteri pada 25 Ogos lalu.

“Walaupun begitu, proses perbincangan masih berjalan untuk mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik COVID-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri dari ancaman wabak dan membebaskan rakyat dari cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pendapatan dan pekerjaan.

Justeru itu, katanya antara lain Pakatan Harapan turut mengusulkan peruntukan tambahan sebanyak RM45 bilion untuk segera meringankan beban hidup rakyat.

“Keutamaan Pakatan Harapan semestinya berteraskan reformasi Parlimen, reformasi fiskal dan program pro-rakyat termasuk moratorium pinjaman bank buat golongan M40 dan B40, dan kebebasan institusi kehakiman.

“Pakatan Harapan akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang dengan menekankan isu tatakelola Kerajaan yang baik serta ketegasan membasmi rasuah,” katanya.

Mesyuarat Kabinet setuju untuk melaksanakan sejumlah pembaharuan parlimen dan pentadbiran, menurut Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ia termasuk kebanyakan pembaharuan yang dijanjikan Muhyiddin Yassin bulan lalu, ketika bekas perdana menteri itu cuba mendapatkan sokongan pembangkang.

Ismail berkata, komitmen itu bagi mengembalikan kestabilan politik negara untuk menangani wabak Covid-109 dan memulihakan ekonomi.