Malaysia Dateline

Anwar tuntut ROS perjelas sebab pendaftaran Pejuang, Muda ditolak

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk menjelaskan sebab penolakan kedua-dua parti Pejuang Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) hari ini.

Beliau berkata, keputusan tersebut sama sekali tidak dapat diterima oleh kerana ianya adalah hak yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita mesti menuntut ROS menjelaskan kepada kita semua mengapa kedua-dua parti ini ditolak pendaftarannya.

“Pejabat ROS bukanlah alat politik untuk digunakan dan dimanipulasi oleh kerajaan untuk mengikut agenda mereka.

“Ketelusan dan kebertanggungjawaban harus ditegakkan dan dijamin agar semua anggota di jabatan itu menyedari tanggungjawab mereka, dan mereka akan diminta untuk bertanggungjawab atas tindakan mereka ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, peguam parti Pejuang, Mior Nor Haidir Suhaimi yang mengesahkan penolakan pendaftaran parti itu kepada media berkata, ROS telah memaklumkan berhubung penolakan itu melalui surat yang diemel kepada Pejuang petang semalam.

Justeru itu, parti yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad itu menarik tindakan undang-undangnya terhadap kelewatan ROS dalam memutuskan status pendaftaran parti itu.

Sementara itu, ROS juga telah menolak permohonan pendaftaran Muda yang diasaskan oleh bekas Menteri, Syed Saddiq Syed Abd Rahman.

Menerusi siaran akhbar Muda, ROS dikatakan tidak menyatakan alasan mengapa mereka menolak permohonan oleh Muda.