Malaysia Dateline

Anwar tuntut siasatan bebas cari punca lembabnya vaksinasi

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut kerajaan pusat bertindak pantas dan menyokong penuh usaha kerajaan negeri dan sektor swasta untuk mendapatkan perolehan terhadap vaksin yang telah diluluskan demi meningkatkan kadar kesegeraan vaksinasi.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga menuntut satu siasatan bebas dilakukan di bawah Parlimen untuk mencari punca lembabnya kadar pemerolehan vaksin yang dialami oleh kerajaan pusat, kerajaan negeri dan sektor swasta.

“Kita sepatutnya telah bersiap siaga untuk memperolehi vaksin yang berkesan sejak berbulan yang lalu.

“Prestasi gerak kerja kita sekarang memang tidak boleh diterima sama sekali,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas dapatan kurang daripada tiga peratus rakyat Malaysia yang telah mendapat suntikan vaksin untuk melawan Covid-19, Anwar berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) terlalu sibuk memikirkan cara untuk mengawal keseluruhan proses dari A hingga Z sehingga mengakibatkan kelengahan yang tidak sepatutnya.

“Saya amat terganggu dengan sikap pihak atasan kementerian yang ternyata begitu lembab,” tegasnya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, dalam Kesatuan Eropah, apabila kadar vaksinasi rendah ditahap tiga peratus, desakan bertubi-tubi daripada rakyat telah cukup untuk mempercepat kadarnya kepada 17.8 peratus dalam tempoh sebulan.

“Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran baru juga bertungkus-lumus mencari jalan buat meningkatkan kadar vaksinasi,” ujarnya.

Dalam masa sama, Anwar berkata, beliau turut mendapat aduan daripada beberapa syarikat swasta dan yayasan bahawa permintaan dan usaha mereka untuk mendapatkan vaksin tidak dihiraukan sama sekali.

Beliau juga mengkritik jangkaan ketibaan vaksin Sinopharm pada bulan Mei walaupun pada masa ini masih belum diketahui sama ada kelulusan telah diberikan sekali gus menambah timbunan masalah yang menanti penyelesaian.

“Matlamat kerajaan pusat adalah memastikan seluruh rakyat Malaysia memperolehi vaksin yang selamat dan berkesan dengan sesegera mungkin.

“Namun demikian, kerajaan pusat tidak perlulah menguruskan semuanya, daripada membeli sehinggalah menyuntik setiap dos.

“Setiap kerajaan negeri memiliki jaringan dan kemampuan tersendiri untuk memperolehi vaksin yang barangkali mengatasi keupayaan kerajaan pusat,” tambahnya lagi.