Malaysia Dateline

Anwar turun ke Gombak, bertemu akar umbi

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam telah bertandang di Gombak kawasan yang diwakili bekas timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sejak 2008 itu.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkesempatan bertemu dengan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Gombak, Arie Yudistira Ishaq serta jawatankuasa sayap pemuda parti itu.

“Saya sebut Cabang Gombak harus tingkatkan usaha dan gerak kerja serta sikapi isu rakyat sebaiknya.

“Saya turut diberi hadiah berupa sebuah potret,” kata Ketua Pembangkang itu di Twitter semalam.

Anwar bersama kepimpinan pemuda PKR Gombak.

Kunjungan Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson di Gombak itu ketika Azmin sudah lebih setahun berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) susulan tumbangnya kerajaan PH menerusi Langkah Sheraton.

Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa sejak 2008 itu merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi di bawah kerajaan PH.

Selepas PH tumbang, Mohamed Azmin mengetuai sekumpulan 11 ahli Parlimen PKR menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diterajui Muhyiddin yang juga Perdana Menteri baharu.

Dia yang kini Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu selepas enam bulan Putrajaya dirampas PN.

Azmin yang pada masa ini merupakan Ketua Penerangan dan Pengarah Pilihan Raya PN memberi bayangan akan terus mempertahankan kerusi yang disandangnya itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Saya mengulangi tekad untuk terus memimpin Gombak dan mewakili setiap lapisan masyarakat, tak kira kaum dan agama kerana inilah tanggungjawab saya sebagai ahli Parlimen dan warganegara Malaysia yang dambakan kemakmuran bersama buat semua anak Malaysia,” ciapnya di laman Twitter bulan lalu.