Malaysia Dateline

Anwar ulangi desak kerajaan segera laksana Undi 18

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi desakan agar kerajaan segera melaksanakan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun (Undi 18) dan pendaftaran pemilih automatik.

Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang itu berkata, pelaksanaan tersebut keputusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara dua tahun lalu.

“Saya sentuh soal ini kerana ia telah pun dilulus dan dipersetujui oleh semua Ahli Parlimen pada tahun 2019 sewaktu Pakatan Harapan (PH) memerintah.

“Namun, pemerintah sekarang (Perikatan Nasional) yang sebahagiannya dari pentadbiran lalu hari ini bertindak mengkhianati dan memungkiri janji tersebut,” katanya menyebutkan kembali intipati ucapannya dalam program di Gombak semalam.

Untuk rekod, Dewan Rakyat dan Dewan Negara meluluskan pindaan Perlembagaan pada Julai 2019 bagi membolehkan rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas mendaftar sebagai pengundi serta menjadi calon dalam pilihan raya.

Walau bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan pada 25 Mac lalu memberitahu pendaftaran pemilih automatik dan Undi 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Sebelum itu, Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim pada 10 Mac lalu menyatakan bahawa kelayakan mengundi pada PRU-15 pada usia minimum 18 tahun yang sepatutnya berkuatkuasa Julai ini tidak dapat diteruskan walaupun Dewan Rakyat sudah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Jelas Rais, pelbagai kekangan ke arah pelaksanaannya sebelum negara ini benar-benar bersedia membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu mengingatkan peranan anak muda pada masa ini adalah penting dan berkebolehan dalam menentukan masa depan negara.

“Saya mengulangi pendirian untuk terus mendesak kerajaan dan SPR untuk segerakan proses ini.

“PKR juga akan menjelajah ke seluruh negara untuk memastikan suara dan aspirasi anak muda ini didengar dan diangkat,” tambah Anwar lagi.