Malaysia Dateline

Anwar umum akan bentuk kerajaan baru, majoriti MP beragama Islam

Anwar dalam sidang media khas tengah hari tadi bersama Saifuddin dan Wan Azizah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan beliau mempunyai sokongan besar Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu sekali gus kejatuhan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Alhamdulillah, kini saya mendapat sokongan yang kukuh dan meyakinkan.

“Saya diperkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam tetapi terpaksa ditangguhkan kerana baginda dimasukkan ke IJN (Institut Jantung Negara).

“Dengan sokongan majoriti selesa ini, kerajaan Tan Sri Muhyiddin jatuh.

“Saya juga memaklumkan kerajaan ini mempunyai mempunyai majoriti MP Melayu,” kata Anwar dalam sidang media khas di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur hari ini.

Turut serta isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Ditanya jumlah kerusi yang diperolehnya,¬†Anwar menjawab ringkas, “Hampir dua pertiga. Majoriti kukuh dan meyakinkan.”

Beliau dan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dijangka akan menghadap Yang di-Pertuan Agong secepat mungkin bagi memohon perkenan baginda bagi membentuk kerajaan yang baharu.

“Kita tidak umumkan secara terperinci untuk memberikan penghormatan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menjadi orang pertama yang mengetahuinya,” kata Anwar.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan terlibat dalam pembentukan kerajaan baharu ini.

Pada masa ini PH mempunyai 91 Ahli Parlimen iaitu PKR (38), DAP (42) dan AMANAH (11).

Menurut Anwar, majoriti dari MP yang menyokong beliau adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Sumber memberitahu, Anwar telah mendapat sokongan 10 Ahli Parlimen Umno dan kesemua 19 Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersama beliau.