Malaysia Dateline

Anwar umum calon Rantau esok atau lusa

Pakatan Harapan (PH) akan mengumumkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Rantau pada esok atau lusa.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya ketika ini sudah selesai mendengar pandangan termasuk cabang negeri yang kemudiannya dibawa ke biro politik.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) sudah menyerahkan sebanyak enam nama untuk dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan.

“Jadi mungkin esok atau lusa saya akan umumkan (calon PRK Rantau) dan mengapa kita pilih calon itu,” katanya kepada media selepas merasmikan pejabat PKR Cabang Rembau, hari ini.

Ditanya sama ada Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau Dr S Streram akan dikekalkan sebagai calon kerusi itu, Anwar berkata, kemungkinan itu ada.

“Tetapi apabila kita buat keputusan tentulah kita beri pertimbangan juga. Kita tidak nafikan hak sesiapa, apa yang dia (Streram) buat, peranan dia turun naik mahkamah.

“Saya berharap semua pihak terima keputusan ini dan saya percaya kita boleh bergerak sebagai satu pasukan yang padu,” tambah bakal Perdana Menteri itu lagi.

PRK Dun Rantau akan diadakan pada 13 April ini. Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 30 Mac, manakala hari mengundi awal ditetapkan pada 9 April.