Anwar umum pelancaran dana RM1 bilion, khusus buat syarikat berpertumbuhan tinggi

Oleh WAN SITI AMINAH

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pelancaran dana ‘National Fund-of-Funds’ dengan peruntukan awal berjumlah RM1 bilion.

Dana tersebut diperuntukkan oleh Khazanah Nasional sebagai pelaburan terhadap syarikat-syarikat tempatan di Malaysia yang berpertumbuhan tinggi serta inovatif.

Perkara ini dinilaikan selari dengan pengumuman Anwar selaku Menteri Kewangan di dalam Belanjawan Malaysia MADANI 2024 pada Oktober lalu, Lapor Berita Harian.

Anwar dalam Belanjawan MADANI sebelum ini berkata, kerajaan komited membantu usahawan Bumiputera, syarikat baharu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kerajaan juga menyasarkan untuk memusatkan agensi pelaburan seperti Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) dan Penjana Kapital di bawah Khazanah.

“Dalam hal ini, saya berbesar hati untuk berkongsi bahawa Khazanah Nasional akan melancarkan ‘National Fund-of-Funds’ dengan peruntukan awal RM1 bilion untuk melabur dalam syarikat Malaysia berpertumbuhan tinggi yang inovatif,” katanya memetik laporan Berita harian.

Pengumuman berhubung dana Khazanah Nasional ini dibuat Anwar di dalam majlis pelancaran Sidang Kemuncak KL20 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Isnin.

Dalam majlis tersebut, Anwar turut melancarkan Kertas Tindakan KL20 iaitu sebuah pelan hala tuju menyeluruh yang menggariskan inisiatif pembaharuan ketara untuk mencapai titik penyatuan dalam kalangan pemegang taruh utama.

Pemegang taruh utama ini melibatkan pengasas, pemodal teroka, bakat, inkubator dan pemacu dengan tujuan memajukan sektor teknologi pemula Malaysia ke satu tahap lebih tinggi.

Menurut Anwar, negara menyaksikan aliran keyakinan pelabur dari semua bahagian ekosistem permulaan membabitkan 25 syarikat yang akan memberi peluang kepada Malaysia mencipta usaha niaga teknologi canggih.

Sebanyak 12 firma modal teroka antarabangsa juga akan menubuhkan pejabat dan dana baharu di Kuala Lumpur dengan saiz aset di bawah pengurusan melebihi berbilion-bilion dan rekod prestasi pelaburan yang cemerlang.

Bukan itu sahaja, syarikat berteknologi tinggi juga akan membangunkan operasi, kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta ibu pejabat serantau di negara ini untuk melayani pasaran Asia dan Asia Tenggara.

Baca juga: Raih kutipan RM11.4 juta dalam masa 3 hari! Filem Sheriff bakal kalahkan Mat Kilau