Anwar usah biar ‘orang sekeliling’ buat kecoh, cermat urus proses peralihan kuasa

Anwar usah biar ‘orang sekeliling’ buat kecoh, cermat urus proses peralihan kuasa

Peralihan kuasa akan menjadi lebih baik jika proses tersebut dikendalikan atas nama Pakatan Harapan (PH) yang bersatu, tegas Ketua Penyelidik Ilham Centre, Mohd Yusri Ibrahim.

Menurutnya, keadaan akan jadi sebaliknya jika diurus mengikut kerangka ghairah PKR.

“Anwar perlu mengurus proses transisi itu dengan penuh cermat dan bijaksana, jangan biarkan orang sekeliling membuat kecoh yang tidak perlu.

“Keadaan akan jadi lebih baik andai proses tersebut dikendalikan atas nama PH yang bersatu, sebaliknya bakal rosak dan terlepas jika diurus mengikut kerangka ghairah PKR,” dipetik dari Facebook beliau.

Beliau menyifatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Ahli Parlimen Port Dickson sekarang masih lagi seperti dahulu dengan aspirasi politik tidak pernah berubah.

Tanggapan tersebut, jelasnya, berdasarkan ucapan-ucapan Anwar Ibrahim pasca transisi kerajaan 2018.

“Jika tidak sempat mengikuti secara langsung melalui pelbagai medium maya, saya pasti mengikuti melalui koleksi-koleksi rakaman dalam YouTube dan pelbagai arkib lain.

“Inti bicaranya kekal sarat dengan pertimbangan terhadap keperluan rakyat, nasib marhaen, agihan ekonomi yang adil, menentang korupsi, mendesak tadbir urus negara yang baik dan sebagainya,” kata Yusri.

Bagaimanapun, beliau berpendapat Anwar sekarang pada kacamata awam tidak sehebat Anwar ketika pra 2018.

Jelasnya, ‘orang sekeliling’ menyebabkan populariti Anwar jatuh bukan disebabkan kelemahan personaliti dan karakter politik.

“Populariti Anwar agak merudum mutakhir ini walaupun dinamakan sebagai bakal Perdana Menteri yang akan menggantikan Tun Mahathir.

“Kedengaran agak kontradik, tapi begitulah politik, logiknya sukar dijangka,” ujarnya.

Sangat serius

Mengulas lanjut, Yusri berpendapat krisis kepimpinan PKR yang sangat serius pasca Kongres Nasional 2018 menyebabkan timbul kesangsian sama ada Anwar memiliki cukup kompetensi untuk memimpin negara yang lebih besar dan bervariasi.

Desakan berterusan kepada Tun Mahathir supaya menyerahkan kuasa kepada Anwar, katanya, juga menimbulkan reaksi jelek yang bukan sedikit kepada Anwar.

“Sedangkan parti sendiri pun beliau gagal uruskan. Walaupun desakan tersebut dibuat oleh orang sekeling, namun yang terpalit dengan label buruk sebagai gila kuasa adalah Anwar.

“Beliau (Anwar) dipersepsikan mengutamakan kuasa melebihi kecaknaan terhadap nasib rakyat yang tidak menentu selepas PH mengambil alih kerajaan.

“Semasa kempen PRK Semenyih dan Rantau, kami meneliti dengan dekat kesan kempen Anwar terhadap PH,” ujarnya.

Yusri turut menganggap Anwar gagal menggunakan aura peribadi dimiliki bekas Timbalan Perdana Menteri itu untuk memberi impak berkesan sokongan rakyat kepada PH.

“Dengan pelbagai bebanan persepsi yang membelenggu, kehadiran beliau tidak cukup dirasai.

“Pagi ini sekali lagi saya mengikuti buah fikir Anwar yang berpidato di UniSZA ini. Seperti biasa, Anwar adalah Anwar, aspirasi politik beliau masih sama.

“Secara peribadi saya melihat beliau masih relevan dan calon paling sesuai untuk menggantikan Tun M di Putrajaya. Isunya, bolehkah beliau sampai ke kerusi itu?” soalnya lagi.